Iklan Nuffnang

Sabtu, 25 September 2010

Dua Hari Satu Malam di Tasik Kenyir, Terengganu

KHAMIS hingga Jumaat aku berada di Tasik Kenyir atas tuntutan kerjaya. Seronok, kali pertama aku menaiki penerbangan Fire Fly. Kapal terbang dan krew penerbangan menggunakan tema warna putih dan jingga. Di atas kapal juga kami diberi minuman sama ada jus oren atau epal berserta biskut dan kacang. Hari pertama, aku pergi ke Air Terjun Lasir dan juga Taman Herba dengan menaiki bot selama 45 minit. Satu bot muat lapan penumpang tidak termasuk pemandu bot. Dari jeti untuk sampai ke air terjun itu perlu mendaki tangga yang tinggi. Atas sebab kesihatan, aku tidak naik dan hanya menunggu di pondok berdekatan jeti bersama dua lagi peserta. Kemudian pergi pula ke Taman Herba dan kembali ke hotel untuk bersiap sedia bagi acara makan malam yang bertemakan serba ungu. Keesokan harinya, kami menghadiri bengkel kecantikan kulit dan pergi ke sessi rawatan spa. Kemudian kami dibawa ke Kuala Terengganu untuk membeli keropok dan ikan kering. Selepas itu, kami berangkat ke lapangan terbang untuk kembali ke Kuala Lumpur....

Isnin, 20 September 2010

Peluang Raya Di Kelantan

SELASA, aku balik dari kampung ke KL. Balik awal sebab adik aku yang kerja jururawat tu kena kerja malam Selasa. Jadi, pagi-pagi lagi aku dah bertolak dari kampung. Jalan tak berapa sesak tapi aku sampai lambat juga sebab pandu kereta lambat-lambat. Singgah di Seri Putra kemudian hantar adik aku balik rumah sewa dia dan kemudian barulah sampai ke rumah dalam jam 5 petang.
Keesokan harinya, aku naik kapal terbang menuju ke Kelantan. Hohoho, raya di Kelantan nampaknya. Inilah kali pertama aku naik kapal terbang menggunakan duit sendiri. Selama ini aku naik kapal terbang ditaja atas nama kerja. Hehe. Aku pernah pergi Bandung, Jakarta, Korea, Pulau Redang, Sabah, Kuala Terengganu dan Pulau Langkawi naik kapal terbang yang ditaja. Aku sampai di lapangan terbang Kota Bharu jam 11.55 pagi. Suzi sampai lewat sebab jalan sesak gila kat Kota Bharu. Aku berjalan-jalan di sekitar lapangan terbang yang tak berapa besar tu. Seronok juga tengok gelagat orang. Singgah di kedai buku dan aku beli buku pasal kisah Rasulullah. Harga buku tu RM35. Sempatlah baca 15 muka surat, kemudian Suzi sampai. Terkedek-kedek Aiman datang sambut aku kat dalam lapangan terbang tu. Rabu sampai Jumaat aku berada di Kelantan. Kemudian balik ke KL naik kereta Suzi. Singgah di satu tempat beli baulu dan akok panas. Wow, sedap sungguh. Tapi Suzi beli banyak, kaedahnya tak habislah makan.

Selasa, 7 September 2010

Kejadian di Lebuh Raya

ISNIN, aku bersemangat nak balik kampung. Apatah lagi dalam beg dah penuh dengan baju raya untuk abah, mama, Atiq dan Azam. Ada juga kasut baru diorang serta kuih raya yang aku beli dan aku buat sendiri. Semangat nak balik. Jam 9 pagi aku bertolak dari rumah ke Bandar Seri Putra untuk jemput adik aku. Jam 10 bertolak dari sana. Sampai kat RNR Ayer Keroh, aku berhenti sebab mengantuk yang amat. Kemudian selepas lelapkan mata selama lebih 1 jam, aku kembali meneruskan perjalanan. Nak dijadikan cerita, apabila kereta menghampiri Tangkak, aku dapat rasakan kereta aku bergegar. Sama gegaran yang berlaku bulan lepas. Aku dah seram sejuk. Bimbang jika tersadai di lebuhraya. Aku kuatkan semangat memandu dengan cara yang praktikal dan bawa perlahan masuk ke tol Pagoh. Aku berdoa supaya dapat sampai ke rumah arwah nenek di Parit Sulong. Alhamdulillah sampai....
Kemudian minta tolong mak cik aku untuk bawa ke bengkel kereta yang selalu dia pergi. Apabila bertemu dengan mekanik tu, dia kata kereta aku rosak karberator. Tukar itu sikit dan ini sikit jumlahnya RM390 termasuk tukar drive shaff. Kemudian selepas salam sana salam sini, aku pun bertolak ke JB dan sampai ketika waktu berbuka sudah hampir tiba.
Aku dah betulkan dah yang gegar-gegar tu di bengkel di Sri Putra. Kena RM710 sebab mekanik tu kata kereta aku rosak bearingnya. Ceh, bearing konon padahal karberator. Lain yang rosak, lain yang kau betulkan. Nasib baik aku tak tersadai kat lebuhraya tu. Kalau tersadai, sapa nak jawab? Bengkel je cantik tapi entah hapa-hapa. Dahlah seminggu kereta aku letak kat bengkel tu baru siap. Baik pergi kat bengkel buruk dalam kampung. Sabar je lah...

Sabtu, 4 September 2010

Rewang Buka Puasa di Pejabat

SUDAH lama aku tak sertai rewang. Rasa rindu pula nak berewang masak-masak macam kat kampung. Bagi anak-anak muda yang tak tahu makna istilah REWANG, mari sini Kak Mariam nak beritahu anda semua. Rewang bermaksud gotong-royong membuat persiapan sesuatu majlis. Kali ini aku rewang anjuran tempat aku bekerja bagi majlis berbuka puasa. Kumpulan aku dipertanggungjawabkan memasak daging masak lemak cili padi. Jam 11 pagi tepat aku sampai di pejabat dengan sebilah pisau. Aku tolong bersihkan serai, kopek kentang, bersihkan cili, bersihkan serai, bersihkan kentang, kisar kunyit dan kisar cili. Masakan ini ringkas sahaja. Tak guna bawang. Jadi bahan-bahannya sikit sahaja dan senang sangat nak memasak. Kami masak 20 kilogram daging batang pinang. Selain kumpulan aku, ada banyak lagi kumpulan yang dibahagikan mengikut jabatan. Apa yang aku tahu, ada barbeku makanan laut, ayam goreng, ayam masak asam pedas, sayur campur, karipap, kuih buah melaka, buah dan air minuman. Pada pendapat aku, budaya rewang begini memang patut diteruskan dan disertai lebih ramai lagi kerana boleh merapatkan ukhuwah antara kakitangan. Ini kira kali pertama aku sertai aktiviti begini. Tahun lepas tak ada buat macam ni. Gambar-gambar kat bawah ni ialah yang sempat aku rakamkan. Sebagai perakam haruslah gambar aku tak ada. :-(


Siap bentang tikar sebelah surau. Gambar sebelah ni pula ialah tempat nak bakar makanan laut. Aku nampak ada ikan dan kerang. Air asam dan sambal kicap dah siap buat dah. Nyum nyum...


Kak Ina sedang mengacau rempah masak asam pedas ayam. Sebelah tu pula ialah Kak Pah dengan daging masak cili apinya.


Ya... karipap dalam proses pembikinan. Sedapnya...

Khamis, 2 September 2010

Selamat Hari Raya daripada MIDI

Salam Lebaran 2010 Bersamaan 1431 Hijrah
Hari ini 2 September 2010 bersamaan hari ke-23 berpuasa. Hanya tinggal tujuh hari untuk semua umat Islam menyambut Aidilfitri. Aku sebagai wakil team majalah MIDI mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca dan juga kepada mereka yang mulai berjinak-jinak dengan majalah khusus untuk insan berusia 40 tahun dan ke atas ini. Tahun ini ialah kali kedua aku merayakan Aidilfitri sebagai wartawan MIDI. Salam Lebaran semua....