Kegembiraan lahirkan anak sulung tu tak boleh padam memori Cik Yam yang hampir-hampir kehilangan dia dulu. Masa tu Cik Yam bleeding banyak. Pengalaman yang buat air mata Cik Yam tak henti mengalir. Pengalaman yang buat Cik Yam memang serah seratus peratus doa pada Allah. Seah diri pada Dia Yang Maha Kuasa.
Jom baca kisah Cik Yam ni. Mungkin naluri keibuan korang boleh tersentuh dengan kisah ni.
9 Julai 2014:
Pagi itu, Cik Yam dengan bahagianya pergi ke Klinik Kesihatan untuk membuat buku pink. Almaklumlah anak pertama. Lebih seronok buat buku pink dengan bff Cik Yam. Kami pregnant sama-sama!
Siap buat buku pink, Cik Yam pergi pejabat seperti biasa. Kerja sebagai wartawan, Cik Yam agak banyak berjalan sebab ada photoshoot pada hari itu.
Petang itu, siap photoshoot Cik Yam perasan ada alami pendarahan. Agak banyak. Tak pasti di mana silapnya. Cik Yam terus bagitahu pada bff Cik Yam dan selepas habis waktu kerja, dia hantar Cik Yam ke klinik berhampiran pejabat.
Dari klinik, kami terus ke hospital besar atas nasihat doktor. Masa tu suami Cik Yam niaga malam seperti biasa.
Sampai di hospital, Cik Yam ingat lagi masa tu bulan puasa. Kakitangan hospital berbuka puasa. Namun kedatangan Cik Yam disambut dengan baik.
Agak lama Cik Yam disoal selidik. Misalnya jumlah pendarahan. Cik Yam agak nervous sebab lepas tu perut Cik Yam kena scan, siap masuk kamera lalu bawah. Eh macam serius je ni.
Jantung Cik Yam mula dub dap dub dap. Tak sedap hati.
Tak lama kemudian mereka panggil doktor pakar. Tap tap tap. Bunyi tapak kasut doktor jalan agak laju ke arah tempat Cik Yam berbaring. Doktor dan seorang jururawat yang sejak dari tadi amik kes Cik Yam ni mula menerangkan satu demi satu kepada doktor pakar. Cik Yam diperiksa sekali lagi.
Hening dalam bilik rawatan itu menambah emosi Cik Yam. Ada pelbagai emosi yang sukar Cik Yam ungkapkan. Yang pastinya tiba-tiba Cik Yam terasa ketakutan. Takut kalau-kalau Cik Yam kehilangan sesuatu dalam rahim Cik Yam.
Setelah pemeriksaan sekali lagi dibuat, doktor pakar menarik nafas panjang. Helaan nafas doktor pakar itu begitu berat pada pendengaran Cik Yam. Cik Yam ternanti-nanti apa yang bakal disampaikan oleh doktor. Berkali-kali Cik Yam telan air liur sendiri dengan penuh keresahan.
Cik Yam pandang wajah doktor pakar dan jururawat di hadapan Cik Yam. Bagaikan memahami pandangan Cik Yam, doktor pakar di sebelah kanan Cik Yam berdehem. Kemudian dia bersuara.
"Maaf puan. Pendarahan puan ini mungkin tanda-tanda keguguran."
Lembut suara doktor itu sampai ke telinga Cik Yam. Namun zasssss! Bagaikan halilintar bunyinya pada pendengaran Cik Yam. Sakitnya perasaan Cik Yam bagai dicabut nyawa. Rasa sejuk dalam bilik tu tiba-tiba panas rasanya. Muka Cik Yam rasa panas.
Jantung Cik Yam berdegup lebih laju. Dup dap dup dap. Suami aku mana? Cik Yam tercari-cari bahu untuk Cik Yam menangis. Tapi tiada. Doktor dan jururawat di dalam bilik itu semuanya lelaki. Terhenjut-henjut bahu Cik Yam menahan tangis. Sekeras-keras hati Cik Yam sebagai wartawan yang selalu berdepan dengan permainan duniawi ini akhirnya tewas juga dengan ujian keguguran zuriat.
"Puan balik dulu. Dalam masa seminggu jika..."
Cik Yam dah tak berapa dengar apa kata doktor kerana fikiran Cik Yam lebih kepada suami. Apa nak Cik Yam sampaikan kepadanya sedangkan baru beberapa hari lepas kami kegembiraan kerana Cik Yam positif hamil.
Keluar dari bilik rawatan, Cik Yam bagitahu bff apa yang berlaku. Kemudian telefon dihulur supaya Cik Yam boleh telefon suami.
Terbayang wajah suami, Cik Yam tak mampu nak buat apa-apa. Telefon terlepas daripada genggaman. Lemah sungguh sehingga Cik Yam tiada tenaga untuk berbuat apa pun. Akhirnya bff Cik Yam yang memaklumkan kepada suami.
Malam itu suami Cik Yam menutup perniagaannya lebih awal. Dan di rumah Cik Yam duduk di atas tikar sembahyang. Berdoa supaya berlaku suatu keajaiban terhadap nyawa di dalam rahim Cik Yam ini. Cik Yam menangis sesungguhnya. Tangisan yang Cik Yam rasakan paling ikhlas dari hati dan sanubari.
Ya Allah, sayangi aku Ya Allah. Aku manusia berdosa. Aku mengharap belas ihsan-Mu. Ampunkan aku. Sayangi aku dan berikan kekuatan kepadaku. Aku sayangkan zuriatku.
Aku mampu hadapi ujian lambat bertemu jodoh. Aku reda diuji pelbagai hinaan kerana lambat berkahwin. Aku rela diuji pelbagai kata nista namun aku tak mampu jika kehilangan zuriat ini, Ya Allah.
Allahu. Allah memakbulkan doa Cik Yam. Seminggu kemudian Cik Yam ke hospital nyata zuriat kami masih bernyawa! Keajaiban apakah ini? Syukur.
Janin itu berkembang dengan sihat dan selamat Cik Yam lahirkan pada 5 Mac 2015. Terima kasih Allah. Mama sayang kakak, Salma Afifah.
0 Ulasan