Iklan Nuffnang

Isnin, 27 Oktober 2008

Kata kerja, kata sendi nama & kata hubung

KATA KERJA
Kata kerja ada dua bahagian iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Lihatlah penerangan di bawah.

Kata Kerja Transitif
Secara mudah untuk difahami, maksud kata kerja transitif ialah perkataan kata kerja yang PERLU ADA penyambut atau objek di belakangnya. Contoh ayat di bawah memudahkan untuk kita sama-sama memahami kata kerja transitif.

1) Syarifah memberitahu saya bahawa dia suka warna merah. (perkataan memberitahu ialah kata kerja transitif yang perlu ada objek di belakangnya. ‘Saya’ ialah objek dalam ayat ini.)
2) Rynas mengirim surat kepada suaminya. (perkataan mengirim ialah kata kerja transitif dan ‘surat’ ialah objek.)

Contoh lain kata kerja transitif ialah:
- memperbaiki televisyen.
- menghulurkan sampul surat.
- mendayung sampan.
- meragut beg.

Kata Kerja Tak Transitif
Kata kerja tak transitif ialah perkataan kata kerja yang TIDAK PERLU ADA penyambut atau objek di belakangnya. Hal ini kerana ayat itu sudah lengkap walaupun tiada penyambut atau objek.

Contoh: Ibu sedang tidur.
Perkataan tidur sudah difahami dan tidak perlu objek. Namun kita boleh menyambung ayat ini dan dinamakan sebagai pelengkap.

Contoh: Ibu sedang tidur di atas tilam barunya.

Contoh lain:
- Rynas tersenyum.
- Suzi sedang bersembahyang.
- Anis berdoa.
- Jambatan itu runtuh.

KATA SENDI NAMA
Kata sendi nama digunakan untuk menyambung ayat bagi menunjukkan kaitan antara kata nama atau kata ganti nama dengan perkataan-perkataan lain.
Kata sendi nama ialah di, ke, pada, kepada, dari, daripada, untuk, akan, hingga, oleh dan dengan.

Kesilapan yang biasa dilakukan
1) Ejaan ‘di’
Daripada senarai ini, biasanya kekeliruan timbul pada kata sendi nama ‘di’, ‘dari’ dan ‘daripada’.
Ada kala saya terlihat kesilapan ejaan ‘di’ yang dieja rapat atau jauh tidak tepat. Kebanyakan orang keliru dengan fungsi ‘di’ sama ada kata sendi nama atau imbuhan. Jika ‘di’ berfungsi sebagai kata sendi nama, ejaannya jauh. Perkataan ‘di’ di eja dekat jika berfungsi sebagai imbuhan.

Contoh:
Rumah saya terletak di Pantai Dalam. (kata sendi nama ‘di’)
Jam itu dibeli oleh Rynas. (imbuhan ‘di’)

Perlu diingat bahawa kata sendi nama ‘di’ tidak boleh diguna untuk menerangkan waktu, masa atau zaman. Misalnya:
Dia berbaju kurung biru di pagi Aidilfitri. (ayat ini salah)
Dia berbaju kurung biru pada pagi Aidilfitri.

2) Penggunaan ‘dari’ dan ‘daripada’
Petua untuk menggunakan perkataan ‘dari’ dan ‘daripada’ secara tepat ialah perkataan ‘dari’ hanya digunakan untuk menunjukkan tempat dan masa. Selain itu kita gunakan ‘daripada’. Senang bukan?
Jika petua ini dapat diingat, maka tidak timbullah ayat pincang yang selalu dilakukan. Misalnya:
Anis menerima panggilan telefon dari Suzi. (salah)
Kerusi ini dibuat dari kayu jati. (salah)
Rynas berjalan daripada klinik ke pejabat. (salah)

KATA HUBUNG
Kata hubung digunakan untuk menyambung dua ayat atau lebih dalam satu ayat. Ada dua jenis kata hubung iaitu kata hubung gabungan dan kata hubung pancangan.

Kata Hubung Gabungan
Kata hubung gabungan ialah penyatuan dua ayat yang setara sifatnya. Perkataan yang digunakan ialah dan, atau, lalu, serta, tetapi, sambil dan kemudian.
Pembinaan ayat menggunakan kata hubung ialah seperti ini. Perhatikan:

Contoh A
Ayat 1: Anis mengulang kaji nota Kak Ani.
Ayat 2: Suzi mengulang kaji nota Kak Ani.
Ayat disatukan menjadi: Anis dan Suzi mengulang kaji nota Kak Ani. (kata hubung ‘dan’)

Contoh B
Ayat 1: Anis lulus ujian memandu kereta.
Ayat 2: Suzi gagal ujian memandu kereta.
Ayat disatukan menjadi: Anis lulus ujian memandu kereta tetapi Suzi gagal. (kata hubung ‘tetapi’)

Kata Hubung Pancangan
Kata hubung pancangan digunakan untuk menyambungkan ayat tidak setara. Ada lebih daripada ayat kecil yang dimasukkan ke dalam ayat induk untuk menjadikan ayat baru. Kata hubung pancangan ialah yang, bahawa, kerana, supaya, jika, semenjak dan walaupun.

Contoh A:
Ayat 1: Haizan membuat kek batik.
Ayat 2: Kek batik itu sedap.
Ayat 3: Kek batik itu lembik.
Ayat disatukan menjadi: Haizan membuat kek batik yang sedap walaupun lembik.
Boleh juga begini: Kek batik yang dibuat oleh Haizan itu sedap walaupun lembik.

Dapatkah anda membezakan antara kedua-dua kata hubung ini? Diharap penerangan ini dapat membantu. Sekian terima kasih.

Tiada ulasan: