Sesi Tanam Pokok Editorial Majalah

Minggu ini kami di Karangkraf mengadakan sesi tanam pokok. Kami ingin menghijaukan laman pejabat kami supaya lebih sihat dan segar. Program ni bukan main-main kerana kami turut ada duta. Selepas majlis sesi penerangan dibuat di bawah kanopi di tepi surau, kami semua bergerak ke lokasi penanaman pokok. Setiap pokok sudah diletakkan nama majalah masing-masing. Pokok majalah MIDI dekat saja dengan pintu masuk ke bangunan baru. Setiap hari kami boleh tengok pokok tu. Setiap editorial tanam pokok sendiri. Tapi lubang untuk tanam pokok tu dah dibuat oleh tukang kebun. Hanya tinggal tanam sahaja. Lama dah tak berkebun, seronok!

Inilah editor majalah MIDI.

Seronok berkebun. Ha, inilah pokok MIDI.

Di bawah ni aku petik rencana dalam akhbar Sinar Harian yang juga salah satu daripada penerbitan Kumpulan Media Karangkraf.

Amy Search dilantik duta Karangkraf Peduli Alam

SHAH ALAM – Amy Search sekeluarga dilantik sebagai Duta Karangkraf Peduli Alam di bawah program Karangkraf Peduli yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu.

Pemilihan Amy dilihat mampu menarik perhatian masyarakat pelbagai peringkat lebih prihatin terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Setiausaha Karangkraf Peduli Alam, Emma Masri berkata, program berkaitan pemeliharaan alam sekitar akan digerakkan menerusi pelbagai aktiviti dan juga media terbitan Karangkraf ke seluruh negara bagi menerapkan kesedaran masyarakat menerusi kempen yang konsisten.

“Buat permulaan, kita memilih pekarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf sebagai lokasi menanam 106 pokok bunga raya dan mengkudu siam sebagai langkah awal kempen ini. Kita mahu menanamkan semangat cintakan dunia hijau dalam jiwa setiap kakitangan syarikat yang seramai lebih 1,500 orang.

"Lebih menarik, usaha ini juga sebagai kempen mencintai simbol kebangsaan kerana tahun ini, kita meraikan sambutan Jubli Emas Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan," katanya.

Emma berkata, penanaman pokok kekal dan renek mampu menyegarkan persekitaran bekerja, secara tidak langsung akan membina suasana pekerjaan nyaman bagi kakitangan Karangkraf.

"Kami akan menggunakan pelbagai medium penerbitan Karangkraf untuk 'menyamankan' lagi persekitaran di mana juga media kami sampai supaya setiap anggota masyarakat akan lebih menghargai alam kita," katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan