Iklan Nuffnang

Ahad, 1 Ogos 2010

Kali Pertama Dalam Hidup Buat Kuih Tanpa Bantuan Mama

AKU ni jenis tangan kayu yang tak pandai buat kuih tetapi kalau masak lauk tu ya, aku pandai. Buat biskut batik yang simple tu pun tak pernah jadi. Dah dua kali aku cuba buat biskut batik; tetapi masih lembik. Dulu kalau buat kuih mesti mama yang tolong. Mama yang tunjuk itu dan ini, aku hanya membuat atas arahan. Dulu mama selalu buat kuih tat nanas, kuih cepeh dan rempeyek. Aku tolong-tolong sahaja. Hari ini, Ahad 1 Ogos kira sejarah dalam hidup aku buat biskut raya tanpa bantuan mama dan hasilnya.... wah menjadi! Gembiralah juga sebab ini boleh diibaratkan sejarah bagi diri aku. Selepas tetamu balik, dan Suzi menemankan mereka pergi ke KLCC, aku duduk diam-diam di rumah membuat kuih raya yang cukup simple resipi daripada seorang senior di pejabat. Nama kuih ini ialah Biskut Baulu Berkacang. Kenapa namanya baulu usahlah tanya aku. Aku tak nampak pun kuih ni macam baulu dan sikit pun tak ada rasa macam baulu. Aku tak ada pencetak kuih ni jadi aku hanya buat bentuk bulat-bulat saja. Haha... aku buat satu acuan saja sebab nak cuba. Kalau menjadi, bolehlah aku buat banyak-banyak sikit nanti. Satu acuan dapat satu balang kuih raya yang biasa kita dapat kalau beli biskut yang ditempah. Kira-kira dalam 80 biji.


Inilah oven yang aku beli. Sebelah oven tu ialah kuih yang dah siap dibakar. Dalam oven tu ada ayam. Haha. Lepas bakar kuih, bakar ayam pula. Sebelah gambar ini ialah ketika gula dan marjerin dipukul. Oh, pemukul tu aku pinjam dari Cik Ros, kakak ipar Suzi yang tinggal di tingkat 19. Maklumlah tak pernah buat kuih. Beli oven, beli bahan tapi lupa nak beli pemukul.


Ini adunan yang dah siap jadi doh. Ini pula gambar ketika belum mula membuat. Kira gambar bahan-bahanlah. Resipi nanti ya.

Tiada ulasan: