Iklan Nuffnang

Jumaat, 11 Jun 2010

Khalil Gibran - Erti Persahabatan

Dan seorang remaja berkata, berbicaralah kepada kami mengenai persahabatan

Dan dia menjawab:
Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih,
dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih.
Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.
Kerana kau menghampirinya saat hati lupa,
dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian.
Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya,
kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri,
pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.

Dan bilamana dia diam, hatimu berhenti dari mendengar hatinya;
kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan,
segala fikiran, hasrat dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi,
dengan kegembiraan tiada terkirakan.

Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita,
Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya,
mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya,
bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki,
nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.

Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.
Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah cinta,
tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.

Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.
Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya,
untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?
Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan.
Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.






Tuhan menganugerahkan alam ini selama 24 jam dalam sehari. Aku meluangkan masaku setiap detik dan setiap masa dengan insan bernama sahabat. Masa yang aku luangkan dengan sahabat melebihi daripada yang aku luangkan untuk insan yang bernama keluarga iaitu ibu bapa, adik-beradik dan saudara mara. Adilkah jika aku lebih sayangkan sahabat daripada keluarga? Oh ungkapan itu tidak benar. Kerana kasih sayang kita bukanlah seperti sebiji kek yang semakin mengecil apabila dibahagi-bahagikan. Kasih sayang akan semakin membesar, melebar dan menebal apabila dibahagikan kepada semua orang.
Sahabat ialah insan yang sangat bermakna dalam hidup kerana hubungan yang sukar untuk dimengertikan. Sahabat bukanlah sekadar untuk mengisi masa lapang tetapi memenuhi waktu yang ada. Sahabat ialah insan yang boleh dibawa berbincang dan kita tidak takut untuk berkata "Tidak" atau berkata "Ya" kepadanya. Bukan seperti hubungan dengan bos atau ibu atau bapa yang semuanya perlu dijawab "Ya". Sahabat ialah mereka yang menerima kita seadanya, dan tidak akan menyuruh kita berubah menjadi manusia yang diinginkan. Tidak perlu cantik untuk menjadi sahabat, tidak perlu kaya untuk bergelar sahabat.
Sahabat ialah insan yang bila dia tiada, kita terasa kosong kerana kegembiraan dikongsi bersama. Mendampingi sahabat bukanlah untuk mengharapkan balasan kerana semuanya hanya untuk berkongsi kegembiraan dan momen indah dalam kehidupan. Itulah persahabatan. Sukar diungkap dengan kata-kata. Puisi Khalil Gibran menyentuh makna seorang sahabat. Kita tidak sedih bila tiada sahabat di sisi tetapi kita pasti tercari-cari apakah yang kurang dalam hidup ini apabila sahabat berada jauh daripada kita.
Aku ramai kawan. Tetapi yang namanya sahabat hanyalah mereka yang ada di dalam gambar yang aku sertakan ini. Ketiadaan kalian dalam hidup ini, mampu memusnahkan masa depan yang sering aku rencanakan. Senyum tawa, tangis sendu dikongsi bersama sejak aku bermula dari kosong merantau di negeri orang sehingga kini aku semakin mengumpul detik cita-cita yang terkumpul dalam sanubari. Tanpamu sahabat, hidupku kosong tidak bermakna lagi... :-)

Tiada ulasan: