Iklan Nuffnang

Sabtu, 18 April 2009

Pesta Buku

HARI ini aku hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL09). Aku hadir hanya dengan denim, kemeja-T buruk, sandal dan tudung sarung. Kenapa berpenampilan begitu? Sebabnya ialah aku hanya menemankan Suzi yang bertugas membuat liputan di situ. Aku bertugas esok sebagai krew Jelita untuk slot Lakukan Sendiri. Jadi esok kenalah berpenampilan menarik sedikit. Jaga nama majalah dan syarikat.
Aku dan Suzi sampai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) jam 11.30 pagi namun pusing-pusing cari parkir. Kami tidak dibenarkan masuk ke parkir PWTC kerana sudah penuh. Jadi berpusing-pusinglah seluruh bangunan berdekatan. Aku cuba sekali lagi masuk ke parkir PWTC. Nasib kami baik kerana parkir sudah dibuka semula. Mungkin ada kosong selepas setengah jam tadi. Memang nasib baik kerana anda kereta hendak keluar. Jadi dapatlah parkir di situ.
Sampai di ruang legar tempat berlangsungnya majlis pelancaran buku terbaru BPSB, aku lihat pentas masih kosong dan ada beberapa krew BPSB sedang memasukkan barang ke dalam beg kertas sebagai ‘goodie bag’. Aik, kata majlis mula jam 12.30 tengah hari tetapi suasana macam belum ada apa-apa yang berlangsung pun. Ada beberapa wartawan daripada penerbitan lain yang aku cam wajah mereka sedang menanti di meja pendaftaran yang masih belum ada yang menjaganya. Isk…
Beberapa ketika menanti, aku dipanggil oleh seseorang untuk membantu mengangkat beg kertas berisi majalah, minuman dan roti dari depan ke belakang. Aku tolong jugalah angkat kerana rasa tanggungjawab kerja berkumpulan walaupun sebenarnya aku tidak terbabit langsung pada hari ini. Aku juga tidak pernah dipanggil mesyuarat sebagai team Pesta Buku. Aku mengangkat sebanyak empat kali pusingan dengan setiap kali pusingan aku angkat lapan beg. Empat beg di tangan kiri dan empat beg di tangan kanan. Kemudian aku tidak angkat lagi kerana sakit pinggang semakin terasa. Maaflah, aku tidak larat atas sebab-sebab kesihatan.
Kemudian aku masuk ke kafe berdekatan minum kopi dan makan sosej. Lapar dan dahaga sungguh rasanya. Kemudian apabila majlis hampir berlangsung iaitu jam 1.45 petang, aku pun duduk di ruang legar sebagai penonton. Ada seseorang pekerja BPSB bertanya kepada aku mana press release. Aku tidak tahu di mana letaknya benda itu kerana aku tidak pernah diberitahu oleh sesiapapun mengenai majlis ini. Kalau aku jadi wartawan yang membuat liputan majlis ini, pasti aku ‘hangin’ kerana tiada press release, majlis mula terlalu lewat daripada masa ditetapkan dan kerusi media dipenuhi dengan orang awam. Aduyai….

1 ulasan:

chocinmybox berkata...

SETIAP tahun pon sama je...mcm tu gak.tahun lepas kalau tak silap,media yg tnya psl press release...