Iklan Nuffnang

Isnin, 9 Mac 2009

Slumdog Milionaire & Budak Kelantan

AKHIRNYA dapat juga aku menonton filem Slumdog Milionaire. Tiket aku beli pada jam 12 tengah hari. Nak tonton yang pukul 2 petang tapi tinggal bangku depan sekali. Tak larat nak mendongak, jadi aku beli yang pukul 4.30 petang. Berkampunglah aku di MidValley, jalan-jalan di Robinson... Metrojaya... nak habiskan masa sampai jam 4.30 petang.
Selepas menonton filem ini, aku tahu kenapa filem ini banyak menang anugerah di Oscar. Sebab utamanya ialah kerana filem ini memaparkan hal sebenar India yang selama ini hanya dipaparkan keindahan bercinta sahaja. Walaupun filem ini memaparkan hal Mumbai yang sebenar tetapi tak adalah macam filem dokumentari. Ia diolah sesedap rasa dan memenuhi cita rasa filem cereka.
Kisah kesengsaraan hidup setinggan, kisah pergaduhan, kesempitan wang, rumah yang langsung tak macam rumah, kenakalan anak jalanan, orang yang ambil kesempatan terhadap kanak-kanak, dijadikan peminta sedekah, dicacatkan untuk meminta sedekah dan pelbagai lagi kisah yang aku pun bagai tak sanggup nak menonton sebab rasa macam kanak-kanak ni terpaksa berjuang sendiri untuk hidup.
Tetapi pada aku ada banyak tempat yang boleh diperbaiki. Misalnya bahasa yang digunakan. Kenapa perlu cakap bahasa Inggeris sedangkan orang India ada bahasa sendiri.
Mungkin perlu berbahasa Inggeris supaya mudah mendapat laluan ke Oscar ke? Aku pun tak tahu sebab pelakon perlu berbahasa Inggeris. Mungkin sebab pengarahnya berbangsa Inggeris.
Pergaduhan ketika scene mandi di sungai yang kotor itu pun aku kurang pasti apa sebabnya. Bukan semua orang tahu masalah pertelingkahan mereka di sana. Pun begitu lakonan pelakon cilik dalam filem ini memang bagus diberi pujian. Scene Jamal melompat ke tempat najis tu memang menjadikan aku tak lalu nak mengunyah popcorn yang aku beli sebelum masuk ke panggung.
Selepas menonton filem ini, aku terfikir kepada filem Budak Kelantan. Pada aku filem ini lebih jujur dan memaparkan kehidupan golongan yang ingin ditonjolkan dengan lebih jelas. Budak Kelantan dibuat sendiri oleh orang Kelantan dan dilakonkan oleh mereka yang bertutur bahasa Kelantan sepenuhnya.
Walaupun ramai yang mengatakan filem Slumdog Milionaire ini sangat bagus sehingga menang banyak anugerah utama, tetapi pada aku filem Budak Kelantan lebih jujur cuma tidak banyak promosi malah dikutuk kerana memaparkan keburukan anak negeri Kelantan yang mencari rezeki di ibu kota Kuala Lumpur.
Biasalah, sama juga macam filem Slumdog Milionaire ini. Mereka (penduduk setinggan India) marah kerana dipaparkan sebagai orang melarat di tanahair sendiri. Siapa yang nak mengaku kekurangan diri sendiri, kan?

Tiada ulasan: