Peribahasa

SALAM sejahtera untuk semua pembaca blog ini. Sudah lama aku tidak menulis untuk ruangan Bual Bahasa. Asyik menulis mengenai kehidupan seharian sahaja hinggakan terlupa mengepos entri dalam bidang yang saya minati ini. Kali ini aku ingin menulis pengenai peribahasa. Ketika bertugas sebagai guru sementara suatu ketika dahulu, ramai pelajar yang bertanya kepada aku mengenai peribahasa. Mereka keliru antara peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan pepatah. Bagi aku, kekeliruan ini bukan sahaja dihadapi oleh pelajar sekolah. Malah kita juga pasti tidak pasti apa beza antara perkara di atas, bukan. Secara mudah, jom kita lihat keterangan di bawah. Semoga kekeliruan anda terungkai dengan sedikit penjelasan ini.

PERIBAHASA
Peribahasa sebenarnya ialah kelompok besar yang di bawahnya ada kelompok kecil iaitu simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan pepatah atau perbilangan.

Peribahasa
1) Simpulan bahasa
2) Perumpamaan
3) Pepatah atau perbilangan
4) Bidalan

SIMPULAN BAHASA
Simpulan bahasa ialah bentuk peribahasa paling ringkas. Biasanya mempunyai dua patah perkataan. Dua patah perkataan itu tadi pula membawa maksud berlainan daripada maksud asal. Contohnya, banyak mulut. Kalau kita lihat perkataan banyak mulut ini membawa maksud mulut yang banyak. Manusia hanya ada satu mulut sahaja, kan? Tetapi simpulan bahasa banyak mulut membawa maksud orang yang suka bercakap. Ha... macam itulah.
Contoh lain kelompok simpulan bahasa ialah besar kepala (degil), ringan mulut (peramah), tangkai jering (kedekut), naik angin (marah secara tiba-tiba), harga diri (maruah) dan rambang mata (tidak tahu hendak pilih yang mana).

PERUMPAMAAN
Perumpamaan ialah bentuk peribahasa yang agak panjang. Dimulakan dengan perkataan ibarat, seperti, bagai, bak, laksana atau ibarat.
Contohnya, seperti katak di bawah tempurung. Maksud peribahasa ini ialah orang yang tidak ambil tahu mengenai dunia luar dan kehidupan terpencil merangkumi ruang lingkupnya sahaja.
Contoh lain ialah umpama kaca dengan permata, bagai pungguk rindukan bulan, bagai aur dengan tebing dan bagai kerana mendapat bunga. Contoh-contoh lain bolehlah anda lihat dalam buku rujukan ya.

PEPATAH ATAU PERBILANGAN
Jika diperhatikan betul-betul, pepatah ada unsur rima seperti puisi. Susunannya ringkas dan terdiri daripada dua baris. Apabila anda menuturkan pepatah, seolah-olah anda menyebut satu per satu dek kerana rima itu tadi. Tak percaya? Cuba sebut contoh di bawah:
-Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
-Cubit paha kanan, paha kiri sakit juga.
-Ditelan mati emak, diluah mati bapak.

BIDALAN
Bidalan ialah bentuk peribahasa yang tinggi nilainya. Bidalan mempunyai unsur nasihat dan bermaksud tersirat. Lebih kurang sama dengan pepatah namun nilai bahasanya lebih tinggi.
Contoh mudah ialah malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan. Contoh lain; jika kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga yang bermaksud kalau pengetahuan sedikit janganlah hendak berlawan atau membuat sesuatu yang besar.

Keterangan tambahan
Kalau ikut Kamus Dewan, perkataan peribahasa bermaksud ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu.
Jadi, untuk anda yang ingin menggunakan peribahasa dalam pertuturan atau penulisan, anda sepatutnya TIDAK BOLEH ubah susunan ayatnya.
Misalnya peribahasa cibit paha kanan, paha kiri sakit juga. Janganlah pula anda ubah jadi cubit paha kiri, paha kanan pun sakit atau cibit paha kanan, paha kiri terasa juga. Janganlah tambah atau kurangkan perkataannya. Bak kata kasarnya, jangan ubah sesuka hati engkorang je.
Jalan terbaik ialah rujuk Kamus Dewan atau buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit profesional. Kadang-kadang buku penerbit ‘nyamuk’ yang banyak di pasaran tak boleh juga nak dijadikan rujukan. Aku pernah kerja di penerbit buku ‘nyamuk’, jadi aku tahulah pasal mereka ni.

Catat Ulasan

0 Ulasan