Kata nama, kata ganti nama & kata adjektif

KATA NAMA
Kata nama ada dua jenis iaitu kata nama am dan kata nama khas. Untuk membezakan kedua-dua jenis kata nama ini mudah sahaja iaitu kata nama am ditulis dengan huruf kecil dan kata nama khas di tulis dengan huruf besar pada awal perkataan. Contoh:

Ahmad bekerja di hospital.

Ahmad ialah kata nama khas manakala hospital ialah kata nama am.
Namun jika ayat Ahmad bekerja di Hospital Besar Kuala Krai ada beza iaitu nama hospital itu dikira sebagai kata nama khas kerana merujuk kepada hospital tertentu.

KATA GANTI NAMA
Kata ganti nama ada dua subgolongan iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata ganti nama tunjuk adalah seperti ini dan itu. Manakala kata ganti nama diri pula boleh dibahagikan kepada tiga itu kata ganti nama diri pertama, kata ganti nama diri kedua dan kata ganti nama diri ketiga.
Kata ganti nama diri pertama merujuk kepada perkataan seperti aku, saya dan beta. Kami dan kita pula boleh digunakan apabila merujuk kepada kata ganti nama diri pertama untuk menunjukkan ramai. Kamu, engkau, anda dan awak adalah kata ganti nama diri kedua. Kata ganti nama diri ketiga pula ialah dia dan mereka.
Kata ganti nama diri pula merujuk kepada perkataan untuk bertanya seperti apa, siapa dan mana.
Ingin saya tegaskan di sini bahawa penggunaan kata ganti nama diri perlu diambil berat ketika kita menulis menggunakan ayat pasif. Ayat pasif ialah ayat yang menggunakan imbuhan ‘di’.
Contoh mudah:
1) Ali menendang bola itu ke dalam gol. (ayat aktif)
2) Bola itu ditendang oleh Ali ke dalam gol. (ayat pasif)

Jika menggunakan kata ganti nama diri kedua atau ketiga tiada masalah. Namun kekeliruan selalu terjadi apabila menggunakan kata ganti nama diri pertama dalam ayat pasif.
Contoh mudah:
1) Saya menendang bola itu ke dalam gol. (ayat aktif)
2) Bola itu saya tendang ke dalam gol. (ayat pasif)
3) Bola itu ditendang oleh saya ke dalam gol. (salah)
Ayat pasif yang menggunakan kata ganti nama diri pertama mesti menggugurkan perkataan ‘oleh’ dan imbuhan ‘di’.

KATA ADJEKTIF
Kata adjektif adalah perkataan yang menerangkan sifat atau keadaan. Boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian tertentu iaitu:
1) Keadaan atau sifat (baik, jahat, berani, kasar)
2) Warna (merah, hitam, biru)
3) Ukuran (besar, kecil, tinggi, kerdil, rendah)
4) Bentuk (bulat, bujur, bengkok)
5) Waktu (lama, baru, lampau, suntuk, silam, lambat)
6) Jarak (jauh, dekat, nyaris)
7) Cara (cepat, laju, gopoh, perlahan)
8) Perasaan (sayang, benci)
9) Pancaindera (sedap, manis, enak, tawar, garau, harum, wangi)

Penggunaan kata adjektif boleh disertai dengan empat jenis tahap iaitu:
1) Tahap biasa: Contoh: Rynas memakai baju merah.
2) Tahap perbandingan: Contoh: Rynas memakai baju semerah darah.
3) Tahap lebih tinggi: Contoh: Rynas memakai baju yang sangat merah.
4) Tahap penghabisan: Contoh: Rynas memakai baju paling merah dalam kalangan rakan sepejabat.

Perlu diingatkan bahawa kata adjektif pada tahap perbandingan yang menggunakan imbuhan ‘se’ tidak perlu diletakkan sendi nama ‘dengan’. Imbuhan ‘se’ sudah menunjukkan maksud sama dengan. Contoh:
1) Rynas memakai baju semerah darah. (betul)
2) Rynas memakai baju semerah dengan darah. (salah)

Sekian, terima kasih.

Catat Ulasan

2 Ulasan

rynas berkata…
wahhh..masih ada lagi Rynas..glemer betol budak tuh hehheheheh
Maryam Elyas berkata…
Hehehehe... glamor la. Kalau tak glamor kita tak guna nama tu. Gelak gelak gelak.