Indahnya bahasa Melayu

Aku orang Melayu berketurunan Jawa. Aku dibesarkan dalam suasana budaya Melayu beragama Islam. Belajar mengaji, belajar baca doa dan belajar sembahyang. Semua ini dilakukan secara rasmi di sekolah atau tidak rasmi di rumah. Sejak kecil aku memang suka membaca novel. Aku juga ada catatan peribadi atau diari. Pada pendapat aku, menulis diari adalah latihan terbaik untuk mengasah bakat menulis.
Bahasa Melayu adalah bahasa yang indah. Apatah lagi ada puisi seperti pantun, syair, seloka dan gurindam. Wujudnya puisi moden iaitu sajak menambah lagi keindahan bahasa Melayu. Bagi aku pantun dan syair adalah puisi Melayu paling menarik kerana ada rima tengah dan rima akhir. Tatkala membaca Hikayat Hang Tuah karya Kassim Ahmad dan juga Hikayat Awang Sulong Merah Muda, aku kagum dengan bahasa berirama yang ada dalam karya itu. Pun begitu aku menghadapi sedikit kesukaran apabila mengkaji naskah Sejarah Melayu susunan WG Shellabear (juga dipanggil Sulalatus Salatin) kerana menggunakan bahasa Melayu klasik. Namun seronok mengkaji naskah ini kerana ada banyak cerita sejarah dan kepahlawanan dalamnya. Misalnya asal usul Tanah Melayu, Laksamana Hang Tuah, Puteri Gunung Ledang dan Kesultanan Melayu Melaka. Ada banyak versi Sejarah Melayu (lebih kurang 25 versi cikgu aku cakap dulu) tetapi yang terkenal ialah versi WG Shellabear hingga menjadi buku teks Tingkatan Enam.
Ketika di sekolah dahulu aku bergiat dalam Persatuan Bahasa dan Persuratan Melayu. Jawatan tertinggi aku ketika itu ialah Setiausaha. Malah aku juga dilantik sebagai Penolong Ketua Pengarang sidang redaksi untuk majalah sekolah. Semua ini kerana minat dan cikgu sekolah nampak kebolehan aku dalam mengenal pasti kesalahan ayat bahasa Melayu. Aku bangga juga sebab karangan aku selalu dijadikan karangan contoh di kelas. Pun begitu, aku dapat kenal pasti karangan aku yang selalu dijadikan contoh ialah karangan berbentuk bebas. Misalnya karangan bertajuk "Mengapa saya ingin menjadi kanak-kanak selamanya" dan "Andainya saya menjadi puteri". Kalau karangan berbentuk ilmiah biasanya markah bahasa aku dapat penuh tapi markah isi aku kurang. Hehehe... nampaknya aku ni jenis penulis novel kot.
Hinggalah aku belajar di UiTM (Sarjana Muda Penulisan Seni Layar) aku timba ilmu penulisan daripada pensyarah-pensyarah aku. Kini aku bekerja sebagai penulis di Majalah Jelita. Sebelum itu aku banyak terbabit dalam dunia penulisan di syarikat kecil dan secara sambilan buat skrip untuk TV.
Dulu, abah aku pernah terkeluar kata-kata yang menidakkan kemahiran aku dalam bahasa Melayu. Dia memperkecilkan kemahiran ini. Katanya dunia sekarang ini bahasa Melayu tak penting, yang penting ialah bahasa Inggeris. Aku memang kurang mahir berbahasa Inggeris. Agak sedih ketika itu namun aku faham abah tak bermaksud sedemikian.... :-(
Kajian keindahan bahasa Melayu terletak pada teori semiotik atau ilmu tanda (perlambangan). Tanda ini boleh dilihat melalui gaya bahasa dan nilai estetika. Bahasa Melayu tradisional mempunyai lebih tinggi nilai estetika berbanding bahasa Melayu moden. Maklumlah bahasa Melayu zaman sekarang lebih ringkas dan banyak menggunakan bahasa pinjaman iaitu bahasa yang dimelayukan daripada bahasa Inggeris. Justeru tidak hairanlah orang masa kini banyak bercakap dan menulis bercampur-campur bahasa. Timbullah masalah bahasa rojak.
Aku akan menulis lagi mengenai bahasa di sini. Bukan niat untuk tunjuk pandai tetapi aku memang minat. Siapalah aku.... aku bukan sapa-sapa. Niat aku hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang bahasa namun belum ada rezeki. Insya-Allah satu hari nanti.... Indahnya bahasa Melayu....

Catat Ulasan

1 Ulasan

suziey berkata…
Hmmm ko memang pandai bahasa Melayu....keep it out...