Iklan Nuffnang

Selasa, 31 Ogos 2010

Samperit Rapuh Menjadi Debu

PETANG Hari Merdeka, aku yang pada mulanya sudah menutup acara membuat biskut raya telah diajak membuat satu lagi biskut raya iaitu biskut samperit oleh rakan serumah, Suziana. Mood hendak lepak depan TV berubah untuk membuat biskut lagi. Pun begitu, rasa malas masih bersisa. Namun melihat kesungguhan Suzi yang turut mencari resipi dalam laman web yang popular dengan resipi membuatkan aku rasa, Oklah, layan je. Lagipun bahan-bahan masih ada di dapur. Suzi pun memang dari awal puasa lagi memang nak buat kuih ni. Berpandukan kepada resipi yang ada dalam Internet itu, aku pun mengadun. Satu demi satu bahan aku masukkan tetapi hasilnya lembik. Aku ubah sikit-sikit dan adunan tu jadi elok. Kemudian masukkan dalam pembakar. Nak tahu apa jadi? Biskut itu rapuh serapuh-rapuhnya dan tidak boleh dipegang langsung. Apabila dipegang, menjadi debu. Apa sebabnya ya? Adakah kerana membuat biskut dengan ada rasa 30% malas. Malas-malas pun aku ikhlas nak buat. Erm... maaflah Suzi, nampaknya biskut samperit tak ada dalam senarai biskut raya yang akan dibawa pulang ke kampung. Ketika menaip entri ini sebenarnya kepala aku masih memikirkan punca atau sebab biskut samperit tu menjadi begitu rapuh. Kalau nak tahu, resipi yang aku ikut daripada Internet itu ialah begini:

3 cawan tepung jagung
1/2 cawan tepung kastard
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula halus
2 cawan marjerin
2 biji kuning telur
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu kecil serbuk penaik

Cara membuatnya:
1) Pukul gula dengan marjerin.
2) masukkan kuning telur, esen vanila dan serbuk penaik.
3) Masukkan tepung dan jadikan doh.
4) Kemudian cetak dan letak ceri.

Nasihatku: Jangan buat ikut resipi ini kerana hasilnya biskut samperit anda akan jadi debu...

Sabtu, 28 Ogos 2010

Projek Kuih Raya Tamat

Alhamdulillah... yahoo. Berjaya buat kuih tat nanas. Masa mula-mula buat minggu lepas tepungnya rasa sedap tapi inti nanas tu keras. Lama sangat bakar. Kali ni, tepungnya Ok-OK saja, tak lemak sangat tapi lebih cantik dan intinya tak keras. Kira berjayalah. Jadi, secara keseluruhan kuih raya dah ada enam jenis. Rasanya cukuplah setakat ini sahaja projek membuat kuih raya. Jadi, secara rasminya projek membuat kuih raya berakhir di sini dan hujung minggu kembali seperti biasa, lepak depan TV dan tengok TV, tidur... meredakan kepala otak yang sesak dengan perkara-perkara yang menyesakkan. Semua manusia ada masalah masing-masing, kan?

Senarai kuih raya aku:
1. Biskut oat kacang.
2. Biskut nestum.
3. Biskut kacang.
4. Biskut Aiskrim.
5. Biskut Milo Coklat.
6. Tat nanas.

Sabtu, 7 Ogos 2010

Kuih Raya Lagi


HARI ni siap lagi dua kuih raya. Resipi sendiri, takde tengok buku punya. Tapi kuih raya simple-simple la. Bukan kuih raya yang macam otai punya. Kuih tat ke, kuih samprit ke, kuih putu ke, almond london ke, coklat cip ke. Ini kuih simple yang tahap cipan je. Hahaha. Bahan-bahan beli di Mydin USJ sebab tadi pagi ada kerja di USJ. Dah dekat dengan Mydin haruslah aku menyinggah ke sana. Sabtu nan indah ni hendaklah dipenuhkan dengan aktiviti berfaedah, ye tak? Kuih yang pertama ialah biskut yang diletakkan nestum ke dalamnya. Rangup wooo... layan je makan. Yang kedua ialah biskut yang dalam dia ada oat dan kat hujung tu aku letak coklat urai. Sesapa yang tak tahu apa itu coklat urai, aku tulis dalam bahasa mat salleh iaitu chocolate rice. Tapi bukan warna coklat, sebaliknya warna-warni. Mula buat jam 1.30 petang. Berhenti dan siap jam 8 lebih betul-betul ketika azan Isyak berkumandang dari surau berdekatan. Setakat ni dah ada lapan balang kuih raya yang terdiri daripada tiga jenis kuih berbeza. Erm... hajat di hati nak buat kuih coklat atau chocolate chip tapi tak retilah!

Kat sini aku bagi resipi yang selalunya aku guna untuk buat kuih raya:

3 cawan tepung gandum
1 cawan tepung jagung
1 cawan gula pasir atau gula perang
1 biji telur
1 sudu kecil serbuk penaik

Yang di atas tu ialah asas membuat biskut. Lepas tu kalau nak tambah apa-apa, tambahlah ikut suka hati. Tambah Nestum ke, oat ke, kacang ke.... Kalau sesapa ada resipi best, bolehlah kongsi. :-)

Khamis, 5 Ogos 2010

Kuih Raya Lagi...

KUIH raya lagi. Hehe. Tengah gian buat kuih raya. Hari ni aku buat resipi sendiri. Asasnya aku ikut resipi yang senior aku bagi tapi kali ni aku tambah oat dan sapu telur dengan susu cair atas biskut tu. Lepas tu letak kacang. Kalau ada coklat urai (chocolate rice) lagi best. Alhamdulillah jadi juga. Aku tak guna pencetak. Aku guna pisau untuk terap doh biskut tu dan juga aku potong-potong jadi bentuk petak. Sebab tak ada acuan, jadi biskut aku ni ada yang besar, ada yang kecik. Itulah keburukan kalau tak ada acuan. Minggu depan aku belilah acuan. Teringin nak buat biskut coklat pula lepas ni. Biskut coklat cip yang aku tengok resipinya dalam buku resipi marjerin Daisy. Insya-Allah. Rasa macam tak nak membeli kuih raya tahun ni. Nak buat hasil tangan sendiri. Kerepek je beli kat Johor nanti. Gambar kat atas tu ialah kuih yang aku buat hari ni... dari jam 8.30 pagi sampai 12.30 tengah hari. Dapat satu balang besar dan separuh balang kecil. Kira OKlah satu acuan dapat banyak tu. Kalau beli mahu RM20++.

Ahad, 1 Ogos 2010

Kali Pertama Dalam Hidup Buat Kuih Tanpa Bantuan Mama

AKU ni jenis tangan kayu yang tak pandai buat kuih tetapi kalau masak lauk tu ya, aku pandai. Buat biskut batik yang simple tu pun tak pernah jadi. Dah dua kali aku cuba buat biskut batik; tetapi masih lembik. Dulu kalau buat kuih mesti mama yang tolong. Mama yang tunjuk itu dan ini, aku hanya membuat atas arahan. Dulu mama selalu buat kuih tat nanas, kuih cepeh dan rempeyek. Aku tolong-tolong sahaja. Hari ini, Ahad 1 Ogos kira sejarah dalam hidup aku buat biskut raya tanpa bantuan mama dan hasilnya.... wah menjadi! Gembiralah juga sebab ini boleh diibaratkan sejarah bagi diri aku. Selepas tetamu balik, dan Suzi menemankan mereka pergi ke KLCC, aku duduk diam-diam di rumah membuat kuih raya yang cukup simple resipi daripada seorang senior di pejabat. Nama kuih ini ialah Biskut Baulu Berkacang. Kenapa namanya baulu usahlah tanya aku. Aku tak nampak pun kuih ni macam baulu dan sikit pun tak ada rasa macam baulu. Aku tak ada pencetak kuih ni jadi aku hanya buat bentuk bulat-bulat saja. Haha... aku buat satu acuan saja sebab nak cuba. Kalau menjadi, bolehlah aku buat banyak-banyak sikit nanti. Satu acuan dapat satu balang kuih raya yang biasa kita dapat kalau beli biskut yang ditempah. Kira-kira dalam 80 biji.


Inilah oven yang aku beli. Sebelah oven tu ialah kuih yang dah siap dibakar. Dalam oven tu ada ayam. Haha. Lepas bakar kuih, bakar ayam pula. Sebelah gambar ini ialah ketika gula dan marjerin dipukul. Oh, pemukul tu aku pinjam dari Cik Ros, kakak ipar Suzi yang tinggal di tingkat 19. Maklumlah tak pernah buat kuih. Beli oven, beli bahan tapi lupa nak beli pemukul.


Ini adunan yang dah siap jadi doh. Ini pula gambar ketika belum mula membuat. Kira gambar bahan-bahanlah. Resipi nanti ya.

Mencari Keperluan Syawal

SABTU, aku dan Suzi menyelesaikan segala urusan di bank. Bayar itu dan bayar ini seperti biasa kelaziman pada awal bulan. Selesai segala urusan pembayaran pinjaman, kami bergerak ke Jakel di Shah Alam membeli kain paling cantik pada pandangan mata untuk dijadikan baju raya ibu bapa kami. Aku belikan abah kain tanpa corak warna maroon. Untuk mama pun aku belikan warna maroon berbunga hijau. Cantik. Untuk raya, haruslah cantik-cantik sikit. Bukankah Syawal masa untuk bergembira meraikan kemenangan menagkis segala dugaan ketika berpuasa?Isnin nanti nak hantar jahit. Aku juga beli langsir siap jahit di Jakel. Selepas itu, kami bergerak ke tempat aku tempah baju kurung moden yang kainnya aku beli di Jakarta ketika membuat tugasan Festival Fesyen Islamik (IFF) tahun lepas. Wahhhh seronoknya baju raya dah siap. Kemudian terus Mydin USJ pula. Aku beli oven nak buat kuih raya kononnya. Kemudian beli bahan-bahan buat kuih ikut resipi senior di pejabat. Kuih baulu berkacang. Kuih tradisional tau! Hehe, tak tahulah jadi kenyataan atau tidak. Balik rumah ingatkan nak buat kuih tu tapi tak jadi sebab ada tetamu di rumah. Haruslah tangguh dulu niat di hati nak buat kuih. Melayan tetamu kan wajib dalam agama kita, kan?