Iklan Nuffnang

Rabu, 30 Jun 2010

Durian Oh Durian

SETIAP hari balik kerja akan lalu di gerai-gerai tepi jalan yang menjual durian. Satu kali nampak, aku OK lagi. Namun kalau hari-hari nampak, daripada takde rasa apa-apa terus rasa macam nakkkk je. Penangan durian ni lain macam sikit bagi seorang peminat durian tegar macam aku ni. Malam tadi, balik kerja terus singgah gerai durian dan beli dua jenis, satu jenis mahal dan satu jenis lagi yang agak murah. Jumlah keseluruhan beli durian ialah RM50. Kira Oklah sebab beli guna duit claim. Hahaha. Kongsi dua dengan Anis. Suzi tak layan durian-durian ni. Jadi, malam tadi kisahnya ialah aku kenduri durian bersama kawan-kawan baik aku ni sambil menonton bola yang menyaksikan kekalahan ke atas Jepun. Suzi jadi tukang kopek durian manakala aku dengan Anis jadi tukang makan. Nyum nyum nyum.

Ahad, 27 Jun 2010

Ayam Masak Lemak Cili Api

AHAD, hari bersantai merehatkan badan walaupun sebenarnya takdelah rehat sangat. Teman Suzi pergi melawat pameran MIHAS di Matrade. Aku pun sambil menyelam minum air; beli sedikit barangan makanan dan juga ambil contact untuk buat ruangan Produk Makanan. Besar juga pameran tu. Balik dari Matrade, singgah di pasar raya halal Metamorf untuk beli barang nak masak. Ketika duit gaji semakin menyusut, saki-baki gaji yang ada dicatu sebaik mungkin supaya cukup untuk sampai kepada gaji akan datang. Masak sendiri lebih jimat daripada beli. Hehe. Lagipun hari ni kan hari cuti. Kalau hari bekerja memang tak laratlah nak memasak. Masuk kedai, selera rasa nak makan ayam masak lemak cili api. Jadi belilah barang yang patut. Ayam RM11.40 dan rempah-ratus yang lain lebih kurang RM12. Sedang elok. Lihatlah hasilnya:

Resipi Ayam Masak Lemak Cili Api

Bahan-bahan:
Ayam
Bawang putih
Bawang merah
Cili api
Cili besar
Serai
Lengkuas
Daun kunyit
Kunyit
Santan
Garam secukup rasa

Cara membuatnya:
1. Kisar bawang, cili api, serai, kunyit dan lengkuas.
2. Tumis bahan yang dikisar sehingga naik bau.
3. Kemudian masukkan ayam dan biarkan sekejap.
4. Masukkan santan dan garam.
5. Ikat daun kunyit dan masukkan ke dalam periuk.
6. Potong cili besar dan masukkan. Biarkan mendidih.

Selasa, 22 Jun 2010

Dapat Anak Buah Lagi....

BERITA gembira hari ini selepas kegembiraan bertemu dengan Shahir ialah dapat anak buah lagi. Ya, anak buah ketiga. Dah tiga orang anak buah perempuan. Yang pertama Nuha dan kedua ialah Izzah. Yang ketiga ni masih belum tahu nak letak nama apa. Kata adik aku beratnya ialah 3.48kg dan lahir secara normal. Aku masih belum berkesempatan menjenguk anak buah aku ni. Insya-Allah hujung minggu ni. Tunggu Antie Ayam ya....

SHAHIR!!!!

PAGI YANG BEST! Kenapa? Sebab aku dapat jumpa, salam dan ambil gambar dengan Shahir. Sedang aku menaip artikel di meja, Anis datang bagitahu aku yang dia nampak Shahir di studio. Kemudian kami lihat Shahir pergi ke lobi dan tentunya ke kafe. Aku pergi kafe pejabat dan nampak Shahir sedang minum dengan seorang wartawan majalah. Terus aku menegur Shahir dan minta bergambar dengannya. Terima kasih kepada wartawan itu yang tolong ambilkan gambar aku dengan Shahir.

Ahad, 20 Jun 2010

Selamat Hari Jadi & Hari Bapa Untuk Abah

Pada 17 Jun 2010 lalu ialah hari jadi abah aku iaitu Hj Elias Bin Hj Sulaiman. Abah lahir pada tahun 1949. Semoga abah diberikan kesihatan dan umur yang panjang daripada Allah Taala. Kasih sayang abah dan pengorbanan abah tidak akan aku lupakan. Bersempena Hari Jadi dan Hari Bapa yang juga jatuh pada bulan yang sama, aku dan adik-adik yang lain sepakat membelikan abah motor baru. Dua motor abah yang ada di rumah tu dah teruk sangat. Asyik rosak-rosak. Motor abah yang jenama Honda (warna maroon) tu dulu pernah digunakan untuk menghantar aku ke sekolah. Berjasa sungguh motor tu. Lagi satu motor abah ialah Kriss warna hijau. Gambar di atas ni ialah gambar abah berposing dengan motor barunya, motor Kriss juga. Selamat hari jadi dan Hari Bapa untuk ABAHKU!

Suka Ria Di Tambun



SABTU, aku bersama Suzi dan Anis pergi ke Lost World Of Tambun (LWOT) untuk memeriahkan suasana Hari Keluarga tempat aku bekerja. Bertolak dari rumah jam 7 pagi tetapi jam 5 pagi aku dah bangun tidur untuk siapkan sedikit makanan. Ringkas sahaja iaitu nuget ayam goreng, sandwic sardin dan air Nescafe. Aku difahamkan sebanyak 26 bas konvoi dari seluruh tanah air untuk memeriahkan sambutan Hari Keluarga ini. Maklumlah, di seluruh tanah air ada cawangan kumpulan syarikat tempat aku bekerja. Meriah sungguh. Sepanjang perjalanan aku dapat lihat bas yang membawa kakitangan syarikat ini. Semua berbaju kemeja-T biru. Meriah! Dalam kemeriahan, aku sempat berasa insaf kerana ada dua kemalangan jalan raya yang berlaku. Salah satunya ialah kemalangan maut kerana kelihatan ada mangsa yang ditutup dengan plastik hitam.

Inilah gambar keadaan kemalangan yang sempat aku rakamkan.

Sampai di LWOT jam 10 pagi tepat. Aku terus mendaftar dan dapatkan kupon makan. Kemudian pergi khemah yang luas untuk acara perasmian dan kemudian kami berpeluang buat aktiviti. Oh, LWOT dipenuhi lautan biru daripada kakitangan yang datang bersama keluarga masing-masing. Sungguh besar Keluarga Karangkraf! Seharian di LWOT, kulit aku gelap. Pedih je rasa sebab kena sunburn. Lupa nak sapu sunblock sebab teruja sangat nak mandi. Paling seronok ketika main gelongsor. Aku naik dengan Suzi dan Anis naik dengan Azza. Disebabkan badan aku yang berat ni gelongsor menggunakan pelampung tu bergerak laju yang amat. Dari atas sampailah ke bawah kami menjerit macam nak putus urat tekak. Laju beb! Kata Anis, apabila pelampung aku dan Suzi sampai ke bawah terus pelampung tu terbalik. Aku dan Suzi terus tercampak dan masuk ke dalam air. Hehe. Yang best juga ialah berkayuh dengan pelampung besar di dalam lorong yang besarnya lebih kurang dua depa. Di situ memang sudah tersedia alunan air yang boleh menggerakkan pelampung kita. Siap ada ombak buatan. Memang best. Kalau tak sewa pelampung, anda boleh berjalan kaki dan nikmati suasana ala hutan yang menyamankan. Kitorang berempat mula-mula jalan di situ tanpa pelampung. Kemudian sewa pelampung dan jalan sekali lagi...

Anis dan Suzi menikmati sandwic sardin dalam kereta.

Baru sampai di depan LWOT. Posing-posing dulu.


Anis, Suzi dan Azza beratur nak naik permainan yang gayat. Masa ni aku dah surrender dah sebab kepala dah macam pening lalat lepas naik bot berpusing dan perahu helang yang memeningkan. Hehe.
Wow, seronoknya!

Khamis, 17 Jun 2010

Nasi Lemak Buah Bidara, Sayang Selasih Aku Lurutkan...


WOW! Nasi lemak buah bidara, sayang selasih aku lurutkan. Buang emak buang saudara, kerana kekasih aku turutkan. Oh ini bukanlah kisah aku nak buang emak dan saudara kerana nak lari ikut kekasih. Ini kisah nasi lemak daun pisang. Bestnye.... Akhirnya hajat nak makan nasi lemak daun pisang yang dibungkus kecik-kecik tercapai pagi ni. Dah berbulan tak makan nasi lemak macam ni. Sejak ikut program Herbalife dan berjaya turunkan sikit berat badan, aku tak sentuh nasi lemak. Makan bubur je. Makan nasi pun curi-curi dalam pinggan Suzi. Kalau tak kena tegur dengan Suzi, aku makan gak setengah pinggan. Hahahaha....
Tiga bulan minum Herbalife, pantang itu dan pantang ini, daripada tiga angka (105kg) aku sekarang dah jadi dua angka (97.1kg). Sekarang masih berpantang juga tapi tak macam masa mula-mula bulan Mac hari tu. Sekarang ni aku tak minum teh Herbalife. Mahal dowhhhhh.... Yang aku masih minum ialah shake sahaja.
Tadi pagi terliur nasi lemak daun pisang yang dibungkus kecik-kecik sebab dalam lif rumah aku ada kakak Indon bawak nasi lemak daun pisang dalam beg besar nak dijual bawah rumah aku tu. Jadinya, Suzi pun bawak kereta pegi Seksyen 11 makan nasi lemak daun pisang ni. Syarat yang aku buat untuk diri sendiri ialah tengah hari no nasi! OKlah kan. Dah teringin sangat. Hahahaha, makan nasi lemak plus kopi panas. Hancur lebur diet aku.
Satu group dengan aku ikut program Herbalife ni ada tiga orang. Akulah yang paling corot sekali dalam pengiraan penurunan berat. Dalam culas-culas makan itu makan ini, boleh jugak aku turun sampai 97.1kg. Kira bagus juga produk ni. OKlah tu sebab dalam sejarah aku memang tak pernah turun. Kecuali masa kena paksa dengan mak aku masa aku tingkatan dua dulu. Turun banyak gak dalam 12 kg tapi memang seksalah sangat.
Sekarang aku tak pernah nak diet sesungguh hati kecuali bila dah join program Herbalife. Penurunan berat dan sedikit kelonggaran seluar dan baju memberi perangsang. Tapi aku tak tahanlah nak pantang makan itu dan pantang makan ini secara keterlaluan. KFC, no! McDonald, no! Popeye, no! Nasi, no! Coklat, no! Aiskrim, no! Yang boleh, ikan stim, bubur nasi, sayur rebus, erm.... tiga bulan berpantang bagiku sudah cukup. Kalau termakan juga fast food, akan aku minum teh Herbalife tu sampai dua liter. Sekarang ni aku makan juga benda-benda yang no no no tu tetapi kadarnya berpada-pada. Kalau dulu seminggu tiga kali makan fast food, sekarang seminggu sekali. Kalau ayam tu dua ketul kan, aku makan seketul. Seketul lagi bagi kat Suzi. Biar dia makan tiga ketul. Biar dia pulak yang bum bum bum.

Selasa, 15 Jun 2010

Caj Tersembunyi Dalam Bil Maxis

AKU tak ingat sejak bila aku mula bertukar daripada prabayar kepada bil. Aku mula menggunakan nombor Hotlink sejak belajar di UiTM dulu pada tahun 2000. Sekarang dah tahun 2010. Sepuluh tahun dah kan. Lama tu. Setia sungguh aku dengan nombor ni dan juga dengan syarikat telekomunikasi Maxis.
Ketika Suzi nak beli broadband Maxis dulu, lelaki yang jaga booth tu menawarkan Suzi bertukar daripada prabayar kepada bil. Tawaran yang menarik, apa tunggu lagi. Suzi pun sign up. Beberapa bulan Suzi pakai bil, aku pun tertarik juga nak pakai bil sebab memang murah bil telefon Suzi sedangkan dia selalu bergayut dengan mak dia kat kampung. Kalau bergayut dengan mak dia, dia akan telefon nombor kakak dia yang menggunakan talian Celcom. Walaupun talian syarikat lain tapi masih murah. Jadi aku pun terfikir nak masuk plan family plus di bawah nama Suzi. Setelah sekian lama menggunakan cara bil ni, aku puas hati sebab memang agak murah. Sebulan aku bayar dalam RM50 hingga RM80 sahaja. Penggunaan biasa saja. Tak adalah ganas sangat. Cuma yang best boleh masuk Internet tengok e-mel Yahoo, e-mel Gmail dan Facebook.
Tetapi sejak empat bulan kebelakangan ni aku dan Suzi rasa terseksa dengan bil yang sampai setiap bulan. Bilnya mencecah hampir lebih RM400 sebulan dan aku mulai berasa pelik. Apasal pula pakai macam biasa tetapi bil yang sampai jumlahnya luar biasa? Itu tak masuk lagi kehangatan perasaan apabila nak buat panggilan tiba-tiba suara perempuan bagitahu, maaf jumlah bil anda telah melebihi had... bla bla bla. Bulan lepas aku buat pembayaran dua kali. Sekali bayar RM200 dan kali kedua bayar RM284.50. Jumlah tu bukan ke dah dekat RM500??? Aku bukan kaki gayut yang senantiasa membuat panggilan. Biasanya aku hanya hantar SMS kerana aku lebih suka ber'SMS.
Disebabkan tidak tahan bayar bil yang melampaui batas pemikiran bagi pengguna biasa seperti aku ni dan keadaan hangin satu badan apabila talian kena block pada hari Ahad lepas, aku dan Suzi menjenguk Maxis Center di The Garden yang mana aku tak suka dengan staff di situ yang tidak mesra. Aku pun potong bil dan bayar semua bil yang berbaki (bukan tertunggak). Aku turut minta staff di situ cetak bil aku sebab aku tak ambil pakej bil bercetak dikirim ke rumah. Yang dikirim ke rumah hanya bil standard sahaja. Terkejutnya aku sebab bil aku tu jumlahnya 38 muka surat. Malas nak membelek di Maxis, aku balik rumah dan barulah membelek.
Ini bil aku. Setiap SMS daripada pembekal kandungan luaran tu jumlahnya RM5. Kalau dah berderet macam tu berapa hengget aku kena bayar?
Aku tengok jumlah yang mahal. Erm... OK, aku ada download klip video Shahir... RM18. Takkanlah download klip video tu boleh menyebabkan bil aku mencecah ratus-ratus. Aku belek lagi dan inilah dia. Di bawah label pembekal kandungan luaran. Benda nilah yang menyebabkan bil aku dan Suzi mencanak-canak macam apa entah. Aku pun tak pasti apa benda pembekal kandungan luaran tu. Apabila aku tanya Anis, yang menggunakan line DiGi, pembekal kandungan luaran tu ialah SMS yang dihantar kepada kita tanpa kita minta. Kadang-kadang SMS mengenai fesyen, MMS dan macam-macam lagi. Oh.... aku ada terima juga SMS seperti itu. SMS yang memberitahu kita di mana ada jualan murah atau pakej di kelab malam yang menawarkan arak pada harga promosi. Kita tak minta SMS dihantar tetapi kita dicaj pada harga yang tak masuk akal. Setiap SMS kita perlu bayar antara RM3 hingga RM5. Tengoklah bil aku kat atas tu. Berderet-deret macam gerabak kereta api. Kuang hasam!!!


Ini bil Suzi. Setiap SMS pembekal kandungan luaran tu nilainya RM3. Melampau kan? Kita tak suruh pun dia SMS kita. Inilah caj tersembunyi yang membebankan pengguna.

Pun begitu aku masih setia dengan Maxis. Ikutkan hati aku tukar ke talian lain. Sabar jelah. Broadband pun aku masih setia dengan Maxis kerana berpuas hati dengan perkhidmatannya. Cuma bil telefon ni jelah yang aku tak sanggup nak guna. Selamat tinggal talian postpaid Maxis.

Isnin, 14 Jun 2010

Happy Birthday, Tiqah @ Mak Mi Kecik

HARI ini 14 Jun 2010 ialah hari ulang tahun kelahiran adik aku yang keempat selepas Sita, Non dan Atiq. Lahir pada 1990 dan kini kiranya umur dia dah 20 tahunlah, kan. Dah besar dah kau Tiqah. Sekarang belajar dalam bidang perguruan di Melaka. Sebelum memilih bidang perguruan, dia dapat juga tawaran sebagai jururawat tetapi pilih nak jadi cikgu. Pilihan yang tepat mengikut minat dan kecenderungan. Dia ni bukan ambik bidang perguruan biasa tetapi lebih kepada ilmu khas yang mengajar murid lembam atau bermasalah dalam pembelajaran. Bersempena hari ulang tahun Tiqah, Kak Yam ucapkan selamat hari jadi dan semoga berjaya dalam hidup menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Wah, patriotik sungguh! Tengoklah gambar kat sebelah ni, memang muka seswai jadi cikgu, kan?

Jumaat, 11 Jun 2010

Khalil Gibran - Erti Persahabatan

Dan seorang remaja berkata, berbicaralah kepada kami mengenai persahabatan

Dan dia menjawab:
Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih,
dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih.
Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.
Kerana kau menghampirinya saat hati lupa,
dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian.
Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya,
kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri,
pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.

Dan bilamana dia diam, hatimu berhenti dari mendengar hatinya;
kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan,
segala fikiran, hasrat dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi,
dengan kegembiraan tiada terkirakan.

Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita,
Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya,
mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya,
bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki,
nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.

Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.
Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah cinta,
tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.

Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.
Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya,
untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?
Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan.
Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.






Tuhan menganugerahkan alam ini selama 24 jam dalam sehari. Aku meluangkan masaku setiap detik dan setiap masa dengan insan bernama sahabat. Masa yang aku luangkan dengan sahabat melebihi daripada yang aku luangkan untuk insan yang bernama keluarga iaitu ibu bapa, adik-beradik dan saudara mara. Adilkah jika aku lebih sayangkan sahabat daripada keluarga? Oh ungkapan itu tidak benar. Kerana kasih sayang kita bukanlah seperti sebiji kek yang semakin mengecil apabila dibahagi-bahagikan. Kasih sayang akan semakin membesar, melebar dan menebal apabila dibahagikan kepada semua orang.
Sahabat ialah insan yang sangat bermakna dalam hidup kerana hubungan yang sukar untuk dimengertikan. Sahabat bukanlah sekadar untuk mengisi masa lapang tetapi memenuhi waktu yang ada. Sahabat ialah insan yang boleh dibawa berbincang dan kita tidak takut untuk berkata "Tidak" atau berkata "Ya" kepadanya. Bukan seperti hubungan dengan bos atau ibu atau bapa yang semuanya perlu dijawab "Ya". Sahabat ialah mereka yang menerima kita seadanya, dan tidak akan menyuruh kita berubah menjadi manusia yang diinginkan. Tidak perlu cantik untuk menjadi sahabat, tidak perlu kaya untuk bergelar sahabat.
Sahabat ialah insan yang bila dia tiada, kita terasa kosong kerana kegembiraan dikongsi bersama. Mendampingi sahabat bukanlah untuk mengharapkan balasan kerana semuanya hanya untuk berkongsi kegembiraan dan momen indah dalam kehidupan. Itulah persahabatan. Sukar diungkap dengan kata-kata. Puisi Khalil Gibran menyentuh makna seorang sahabat. Kita tidak sedih bila tiada sahabat di sisi tetapi kita pasti tercari-cari apakah yang kurang dalam hidup ini apabila sahabat berada jauh daripada kita.
Aku ramai kawan. Tetapi yang namanya sahabat hanyalah mereka yang ada di dalam gambar yang aku sertakan ini. Ketiadaan kalian dalam hidup ini, mampu memusnahkan masa depan yang sering aku rencanakan. Senyum tawa, tangis sendu dikongsi bersama sejak aku bermula dari kosong merantau di negeri orang sehingga kini aku semakin mengumpul detik cita-cita yang terkumpul dalam sanubari. Tanpamu sahabat, hidupku kosong tidak bermakna lagi... :-)

Rabu, 9 Jun 2010

Jom poco-poco!

SELESAI kisah biskut batikku yang masih berbaki separuh loyang di dalam peti sejuk. Yalahkan, manis dan agak lembik. Lambatlah habisnya. Kalau tak lembik, sedap dan tak manis sangat tentu cepat habis. Lagipun sapa je lah yang ada di rumah tu. Kalau tak aku yang makan, sapa lagi? Suzi? Erm... dia lambat sikitlah nak makan benda-benda manis. Yang dia suka masin dan masam. Letaklah jeruk setempayan pun tentu habis.
Apa aku nak berkisah hari ni? Tak ada yang menyeronokkan. Semuanya biasa-biasa sahaja. Oh mungkin pasal kelas poco-poco di pejabat. Setiap Isnin dan Rabu ada kelas poco-poco. Aku selalu datang. Nak ikutkan cuma dua kelas je aku tertinggal sebab ada tugasan. Kalau tak tentu kedatangan aku 100 peratus.
Kelas ni percuma je. Yang jadi cikgu poco-poco ialah cik adik manis nama Aqma. Kelas pula buat di studio foto. Studio foto ni besar. Bolehlah dimanfaatkan sebagai kelas poco-poco. Nak keluarkan peluh. Berpeluh juga tau uols.... Seronok kelas ni. Macam-macam langkah (step) dah diajar. Aku ni takdelah pandai sangat menari. Badan macam aku ni manalah cantik menari. Setakat goyang sikit-sikit tu bolehlah. Tapi apa yang aku pelajari dalam kelas poco-poco ni ialah usahlah kita merendah diri dengan saiz badan kita sebab orang yang kurus pun belum tentu boleh menari. Hehehe... kita serupa... Jadi, kaedahnya, ada kebaikan ke kelas ni? Bagi aku, ADA. Sebab boleh gerak-gerakkan tubuh, senam sikit dan manfaatkan masa terluang serta boleh buang sedikit tekanan mengenai masalah dalam kehidupan seharian... :-)

Ahad, 6 Jun 2010

Biskut Batik

HARI Sabtu aku ada kerja sikit nak buat. Ke sana ke sini dan petangnya pergi tengok wayang kejap cerita Lagenda Budak Setan. Tiket semua Anis yang uruskan. Hehe. Tima kasih Anis. Lepas tengok filem tu, singgah sekejap beli biskut marie, susu pekat manis dan Milo. Tiba-tiba terasa nak buat biskut batik la pulak. Hari ni juga jiran aku kat JB buat kenduri kahwin. Mama suruh balik, tapi tak sempat nak balik. Maaf ya Hairi, selamat pengantin baru. Aku doakan semoga kekak bahagia sehingga ke akhir hayat. Balik rumah, lepas mandi aku terus buat biskut ni. Sebelum tu jenguk internet sekejap tengok resipi dia. Ada macam-macam versi. Aku pilih yang mudah je lah sebab ada yang kena letak kacang tanah la, nestum la, serbuk koko la, ah susahnye. Jadi aku buat versi aku sendiri.

Bahan-bahan:
Marjerin
Milo
Air panas
Susu pekat manis
Biskut marie

Cara membuatnya:
1) Panaskan marjerin dalam periuk kecil.
2) Bancuh Milo dengan air panas.
3) Masukkan susu pekat manis.
4) Tutup api. Masukkan bancuhan Milo dan susu tadi dalam periuk yang ada marjerin tu.
5) Kacau sampai sebati. Masukkan dalam bekas plastik.
6) Pecah-pecahkan biskut marie ikut suka hati.
7) Masukkan dalam peti sejuk.