Iklan Nuffnang

Jumaat, 29 Mei 2009

Festival Fesyen Islamik (IFF)

SELAMA tiga hari dua malam aku berkampung di Jakarta Selatan. Semua ini kerana jemputan daripada Datuk Reza Shah (Nusantara Gems) untuk menghadiri IFF. Kami menetap di Hotel Aryaduta bersebelahan dengan Plaza Semanggi manakala majlis IFF berlangsung di Hotel Mulia. Hotel Aryaduta berkonsepkan apartment. Ada tiga bilik semuanya.
Waktu Jakarta lewat sejam berbanding dengan waktu tempatan. Aku pernah melawat Bandung tahun lepas. Bagi aku Jakarta dan Bandung tidak banyak bezanya. Sangat ramai orang, kesesakan lalulintas dan jurujualnya kasar. Jika anda membeli-belah di Jakarta atau Bandung, anda perlu berhati-hati dan bijak menawar. Jika tidak mahu beli, anda hanya boleh melihat sahaja. Usah dipegang barang yang dijual dan ditawar harganya kerana kemungkinan besar anda akan dimaki atau diejek.
Sewaktu di Jakarta, aku berbelanja di Mangga Dua. Sangat banyak beg tangan, telekung dan pakaian dijual pada harga serendah RM15. Seperti biasalah, kalau kualitinya bagus maka harganya agak mahal. Jika barang itu dijual pada harga Rp600,000 anda perlu menawarnya hingga Rp200,000. Ini semua disebabkan mereka menaikkan harga hingga lebih sekali ganda. Berbijaklah berbelanja kerana ini berkaitan dengan wang dan kemungkinan dicaci oleh penjual. Untuk yang ada duit banyak, berbelanjalah di kompleks beli-belah mewah kerana jurujual di situ lebih sopan dan tidak mengganggu anda ketika anda memilih-milih barang.

Ahad, 17 Mei 2009

Ayam Masak Lemak Cili Api & Sambal Tumis Udang Petai

YA... inilah makanan aku pada Sabtu nan indah. Resipi aku ikut dalam majalah. Sedap juga. Barulah aku tahu rahsia masak lemak cili api yang sedap. Rupa-rupanya serai hendaklah dikisar sekali dengan bawang dan kunyit hidup. Dulu aku masak serai itu hanya diketuk-ketuk sahaja. Mulai hari ini, tahulah aku. Gambar akan dimasukkan kemudian kerana laptop ini ada masalah tidak boleh bluetooth. Maaf ya.

Jumaat, 15 Mei 2009

Tanda Sahabat Sehidup Semati

KALAU baca tajuk entri ini mesti rasa macam syahdu dan begitu tulusnya persahabatan. Tetapi sebenarnya tidaklah begitu. Kelakar pula rasanya. Kisahnya begini. Petang-petang hari jam 5.30 petang Suzi mengaduh lapar. Bagi biskut, dia makan. Bagi Choki-Choki pun dia makan. Malah biskut beras yang aku suka dan dia tidak suka itu pun, hampir-hampir dimakannya.
Tiba-tiba dia bertanya pada Anis, "Uol, uols ada maggi tak?" Anis jawab, "Ha... ada"
Lantas maggi itu pun diberikan kepada Suzi. Suzi melihat tarikh di bawah bekas maggi itu dan tertulis 250409. Memang sah tarikh itu menunjukkan tarikh luput maggi itu. Namun Anis cuba menyedapkan hati. Itu tarikh manufactured, lah atau dalam bahasa Melayunya tarikh pembungkusan.
Lantas kami mengambil keputusan untuk makan juga maggi itu kerana tarikh luputnya masih belum sebulan yang lalu. Demi menunjukkan kasih sayang antara sahabat, aku, Suzi dan Anis makan maggi itu bersama-sama walaupun tahu makan makanan yang sudah tamat tarikh luput adalah agak berbahaya. Soooo sweet.

Isnin, 11 Mei 2009

Jalan-Jalan Pergi Zoo Negara

HA kata mana ni> Inilah dia Zoo Negara. Sudah bertahun lamanya aku tidak ke sini. Kali terakhir ketika melakukan penggambaran program RTM bertajuk Celik-Cilik dahulu yang aku rasa pada tahun 2004. Lima tahun jugalah aku tidak menjejakkan kaki ke sini.
Kali ini aku ke sini untuk meraikan kedatangan anak saudara Suzi iaitu Aiman. Katanya dia ke sini untuk melihat katak. Hahaha, Aiman, kalau nak tengok katak tak payah ke zoo. Pagi-pagi bangun tidur jenguk je ke luar tingkap rumah nenek kat Krai tu. Ada punyalah katak kat situ.










Jumaat, 8 Mei 2009

Konsert Black Dog BOne

MALAM tadi aku pergi ke Istana Budaya (IB) atas undangan pihak IB bagi menyaksikan pratonton Konsert Black Dog Bone khusus untuk media tanahair. Konsert ini bakal berlangsung selama tiga hari bermula hari ini. Sepanjang konsert selama dua jam 15 minit memang aku rasa seronok sangat kerana dua alasan. Pertama ialah ini kali pertama aku masuk ke Panggung Sari IB. Kedua kerana persembahan Black Dog Bone dan penyanyi undangan seperti Jay Jay dan Rahim Othman sangat memberangsangkan. Paling best apabila kumpulan dari Kota Singa ini membawakan lagu popular mereka seperti Si Gadis Ayu, Lupakan, Diganggu Kenangan, Geram, Rilek, Bahagian Dan Derita, Bila Rindu, Hatiku Luka Lagi, Dulu Dan Sekarang serta lagu hits mereka iaitu Khayalan. Apabila mendengar lagu-lagu ini aku terkenang zaman aku kecil-kecil dulu. Maklumlah kumpulan ini sangat popular sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an. Aku yang lahir tahun 1977 ini tentulah membesar dengan lagu-lagu mereka. Paling aku ingat ialah lagu-lagu ini selalu aku dengar dalam bas sekolah Abang Jak. Hahaha, memang sentimetal habis. Lagu Jay Jay pun tak kurang hebatnya. Lagu Cukuplah Sekali, Belaian Jiwa dan Rindu Bayangan memang segar sekali. Terima kasih kepada IB yang memberikan aku tiket media berharga RM205 untuk aku menonton konset ini. Kepada sesiapa yang ingin menonton pergilah ke IB pada 8, 9 dan 10 Mei 2009 jam 8.30 malam. Tiket-tiket berharga RM65, RM85, RM155 dan RM205. Pasti anda tidak menyesal.