Iklan Nuffnang

Sabtu, 28 Mac 2009

Jom Kira Duit Tabung

NAK keluar bersantai pinggang belakang masih sakit. Baca surat khabar habis dari depan ke belakang sudah kuselak. Nak habiskan baca novel takde mood. Nak tengok TV, cerita semuanya hampeh dan tak kena dengan jiwa. Jadi apakah yang harus kulakukan? Aku pun ambil tabung berbentuk beruang aku tu dan aku keluarkan isi perutnya. Duit syiling itu aku kira satu per satu. Hehe banyak juga. Seratus lebih jugalah jumlahnya.




Apabila Aleeya Jadi Model

INI sebenarnya kisah tahun lepas bersempena Aidilfitri. Setiap kali tiba isu bumper majalah tempat aku kerja ini, aku akan ditugaskan membuat fesyen kanak-kanak kerana tuntutan majalah yang tebal berbanding isu biasa. Justeru aku cuba menjadikan Aleeya iaitu anak saudara aku yang comel ini sebagai model. Dia sebenarnya memang suka bergambar. Lebih kurang tiga minggu sebelum tarikh penggambaran, aku sudah berbincang dengan Sita supaya set dalam minda dia yang dia akan bergambar di studio. Ternyata, bukan mudah sebenarnya untuk membuat fesyen kanak-kanak walaupun kanak-kanak itu suka bergambar kerana di studio ramai orang yang dia tidak kenal. Ada jurusolek, jurugambar, pembantu jurugambar dan penyelaras. Lihatlah aksi Aleeya yang menjadikan aku agak kecut perut. Kalau dia tidak mahu bergambar, apalah akan jadi dengan fesyen aku hari itu. Nasib baik aku memang sudah banyak kali menyelaraskan fesyen kanak-kanak. Jadi sudah biasa handle kanak-kanak yang menangis, yang merajuk, yang tidak mahu ambil gambar, yang nak kencing dulu, yang tak nak disolek dan sebagainya....

Air mata berjurai menangis takut nak ambil gambar.

Duduk di pangku ayah sementara aku puas memujuk.
Ketika ini, sudah boleh tersenyum. Dah datang mood nak bergambar.

OK, senyum dah semakin melebar apabila jurugambar tak henti-henti ambil gambar dia.

Mood berposing dah makin datang....

Inilah pasangan bergambar Aleeya.
Semakin ceria apabila bersalin pakaian.
Semakin handal berposing apabila tiba pakaian moden.

Terasa macam model antarabangsalah tu apabila jurusolek touch up.

Isnin, 23 Mac 2009

Kisah Jam Tangan


SELEPAS tamat waktu bekerja hari ini aku pergi ke The Gardens untuk pulang baju yang dipakai Fazura. Selepas selesai memulangkan baju aku terus berjalan untuk ke tempat letak kereta. Tiba-tiba nampak ada perkataan "Jualan Murah" di kedai jam Chitara. Terus teringat akan jam aku yang pecah tempat penyambung. Jam aku ni pecah dan putus ketika penggambaran dengan Fazura tadi. Tergolek jatuh ke lantai. Nasir yang tolong ambilkan jam tu dan Nasir juga yang jumpa skru dia. Gambar jam lama ini ialah gambar yang berlatar belakang hitam di atas.
Wah, ada jualan murah pula. Aku pun terus masuk dan belek-belek mana yang berkenan di hati. Aku nampak jam berjenama Titus. Harga RM799. Mahal tetapi ada potongan 70 peratus. Aku pun terus beli tak fikir panjang. Gambar jam baru ini adalah yang warna biru di atas. Ini ialah jam pertama yang aku beli guna duit sendiri. Sebelum ini jam aku semua Mama yang belikan.
Aku sayang sangat jam lama tu. Jam ini Mama yang belikan pada tahun 1996. Aku pakai jam ini ketika sekolah di Tingkatan 6 lagi. Terus ketika kerja cikgu, terus ketika belajar di UiTM Shah Alam, terus ketika kerja sampailah sekarang. Aku akan usaha membaiki jam ini.... Sayang sangat jam ni.

Penggambaran Dengan Fazura

HARI ini aku ada penggambaran dengan Fazura. Masa yang dijanjikan ialah jam 3 petang tetapi Fazura datang awal jam 1.30 petang. Nasib baik jurusolek, Emma Mustafa pun nak sampai juga. Kalau tidak terpaksalah Fazura menunggu sebab dia datang awal sangat.
Aku sediakan pakaian daripada butik Raoul yang aku ambil di The Gardens. Jurugambar hari ini ialah Nasir Roli.
Bercakap fasal Fazura, erm... dia sangat cantik. Usianya 26 tahun dan dia kata dia tidak mahu berpenampilan seksi lagi. Alasannya ialah pada usia sebegini dia ingin berubah dan sudah berfikiran semakin matang. Ha... Fazura juga menyatakan ingin berumahtangga cuma belum tahu bila masanya dan dengan siapa.
Pada aku, Fazura sangat jujur dan baik. Dia memang comel sangat!

Khamis, 19 Mac 2009

Pesona Atau Persona?

HARI ini aku ingin berkongsi mengenai dua perkataan yang selalu salah digunakan iaitu pesona dan persona. Perkataan ini salah digunakan apabila muncul filem Persona Non Grata dan kereta Proton Persona. Sakit mata aku melihat dan sakit telinga aku mendengar apabila perkataan ini salah digunakan dalam bahasa Melayu.
Orang selalu kata "Saya terpersona melihat keayuan wajah peragawati itu." Ayat ini salah kerana sepatutnya guna perkataan terpesona. Untuk lebih jelas lihat nota di bawah.

PESONA - Ada dua maksud.
1) Sihir - Contoh (Dia menggunakan pesona untuk memikat gadis itu).
2) Sangat-sangat tergoda atau memikat - Contoh (Keayuan gadis itu mempesona pandangan).

PERSONA - Ada dua maksud.
1) Watak di dalam karya seperti filem, novel dan sebagainya.
2) (Bahasa Latin) Orang. Persona non grata bermaksud orang yang tidak diterima di dalam negara selama-lamanya kerana berbuat kesalahan seperti jenayah.

Baiklah, itu sahaja maksud dua perkataan secara ringkas. Justeru, cuba anda perhatikan dan carilah maksud nama Proton Persona. Adakah Proton ingin membawa maksud orang ramai pasti terpesona dengan kereta itu? Aku rasa memang Proton ingin membawa maksud Proton Persona sebagai sebuah kereta yang benar-benar memikat orang ramai. Jadi sepatutnya kenalah letak nama Proton Pesona. Betul tak?

Keseronokan Berganda

MALAM tadi aku pergi Malam Media RedBox Karaoke di The Gardens. Seronok nyanyi-nyanyi sampai tengah malam. Ramai sungguh media yang datang. Aku jumpa ramai kawan media hiburan. Jarang jumpa mereka sebab aku bukan penulis hiburan. Paling seronok apabila nama aku dipanggil ketika hadiah cabutan bertuah. Aku dapat pemain DVD jenama JVC. Anis pula dapat baucar RM100. Suzi tiada habuan malam itu.
Hari ini pula aku pergi buat tugasan dari pagi hingga ke petang di Hotel Westin dan Pavilion. Mula-mula di Hotel Westin. Sedapnya makan tengah hari di sini. Media boleh pesan sama ada nak makan hidangan Malaysia, Vietnam, Jepun atau Thailand. Aku pilih hidangan Malaysia walaupun ramai media lain pilih makanan Jepun. Teringin juga nak makan makanan Jepun tetapi entahlah tekak ni tiba-tiba jadi kampung pula tadi. Aku tahu makanan Jepun memang mahal harganya.

Hidangan Malaysia di dalam kotak ala Jepun. Kuih koci sebagai pencuci mulut.

Aiskrim Teh Hijau (Jepun) dan Mangga Pulut (Thailand)
Selepas itu aku pergi ke Pavilion pula. Aku masuk ke butik Diane Von Furstenberg. Selepas mendaftar aku ronda-ronda dalam butik itu. Wow! Boleh tahan harganya. Semua RM1,000 ke atas. Tiba-tiba, nak dijadikan cerita ketika media semua hendak melangkahkan kaki keluar dari butik itu, kami diberi beg kertas berisi beg tangan! Aku tidak pasti apa perasaan media lain. Namun bagi aku, aku sangat teruja. Beg jenama Diane Von Furstenberg tu....

Isnin, 9 Mac 2009

Slumdog Milionaire & Budak Kelantan

AKHIRNYA dapat juga aku menonton filem Slumdog Milionaire. Tiket aku beli pada jam 12 tengah hari. Nak tonton yang pukul 2 petang tapi tinggal bangku depan sekali. Tak larat nak mendongak, jadi aku beli yang pukul 4.30 petang. Berkampunglah aku di MidValley, jalan-jalan di Robinson... Metrojaya... nak habiskan masa sampai jam 4.30 petang.
Selepas menonton filem ini, aku tahu kenapa filem ini banyak menang anugerah di Oscar. Sebab utamanya ialah kerana filem ini memaparkan hal sebenar India yang selama ini hanya dipaparkan keindahan bercinta sahaja. Walaupun filem ini memaparkan hal Mumbai yang sebenar tetapi tak adalah macam filem dokumentari. Ia diolah sesedap rasa dan memenuhi cita rasa filem cereka.
Kisah kesengsaraan hidup setinggan, kisah pergaduhan, kesempitan wang, rumah yang langsung tak macam rumah, kenakalan anak jalanan, orang yang ambil kesempatan terhadap kanak-kanak, dijadikan peminta sedekah, dicacatkan untuk meminta sedekah dan pelbagai lagi kisah yang aku pun bagai tak sanggup nak menonton sebab rasa macam kanak-kanak ni terpaksa berjuang sendiri untuk hidup.
Tetapi pada aku ada banyak tempat yang boleh diperbaiki. Misalnya bahasa yang digunakan. Kenapa perlu cakap bahasa Inggeris sedangkan orang India ada bahasa sendiri.
Mungkin perlu berbahasa Inggeris supaya mudah mendapat laluan ke Oscar ke? Aku pun tak tahu sebab pelakon perlu berbahasa Inggeris. Mungkin sebab pengarahnya berbangsa Inggeris.
Pergaduhan ketika scene mandi di sungai yang kotor itu pun aku kurang pasti apa sebabnya. Bukan semua orang tahu masalah pertelingkahan mereka di sana. Pun begitu lakonan pelakon cilik dalam filem ini memang bagus diberi pujian. Scene Jamal melompat ke tempat najis tu memang menjadikan aku tak lalu nak mengunyah popcorn yang aku beli sebelum masuk ke panggung.
Selepas menonton filem ini, aku terfikir kepada filem Budak Kelantan. Pada aku filem ini lebih jujur dan memaparkan kehidupan golongan yang ingin ditonjolkan dengan lebih jelas. Budak Kelantan dibuat sendiri oleh orang Kelantan dan dilakonkan oleh mereka yang bertutur bahasa Kelantan sepenuhnya.
Walaupun ramai yang mengatakan filem Slumdog Milionaire ini sangat bagus sehingga menang banyak anugerah utama, tetapi pada aku filem Budak Kelantan lebih jujur cuma tidak banyak promosi malah dikutuk kerana memaparkan keburukan anak negeri Kelantan yang mencari rezeki di ibu kota Kuala Lumpur.
Biasalah, sama juga macam filem Slumdog Milionaire ini. Mereka (penduduk setinggan India) marah kerana dipaparkan sebagai orang melarat di tanahair sendiri. Siapa yang nak mengaku kekurangan diri sendiri, kan?

Jumaat, 6 Mac 2009

Selamat Hari Jadi Untuk Azam Azhari Elias


INI adik bongsu dalam keluarga aku. Nama dia Azam Azhari. Sabtu, 7 Mac 2009 ini ialah hari jadi dia! Hari jadi ke-12 tahun. Tahun ini dia akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Selamat hari jadi, Azam....

Ahad, 1 Mac 2009

Love Matter

FILEM Love Matter arahan Jack Neo menjadi pilihan aku untuk ditonton pada hujung minggu ini. Filem ini menggunakan bahasa Mandarin. Jack Neo adalah pengarah dari Singapura. Namun penggambarannya dibuat di Malaysia sebab aku tengok scene pertama ada menunjukkan bangunan KLCC.
Jalan cerita filem ini sangat menarik. Kisah tiga lelaki iaitu Boo Seng lakonan pelakon Singapura (Henry Thia), Jeremy lakonan Jack Lim dan Benny lakonan Alex Leong. Ketiga-tiga mereka mencari erti cinta dalam hidup. Mereka mewakili tiga golongan atau tiga peringkat usia iaitu 50-an, 30-an dan belasan tahun. Memang terhibur menonton filem ini. Memaparkan kisah masalah seksual lelaki iaitu mati pucuk, mengenai bahaya teknologi moden kepada remaja dan masalah komunikasi antara suami isteri. Semuanya mengenai kasih sayang dan cinta.
Sebelum filem Love Matter, setahu aku Jack Neo pernah mengarahkan filem I am Not Stupid dan Money Not Enough.
Ketika memasuki panggung, aku lihat sekeliling dipenuhi masyarakat Cina. Hanya aku, Suzi dan dua lagi orang Melayu yang masuk ke panggung. Ini yang aku nampaklah. Panggung memang penuh dan aku duduk di barisan keenam dari depan. Agak sakit leher jugalah.