Iklan Nuffnang

Selasa, 20 Januari 2009

Apabila aku buat kuih

JOM buat karipap atau dalam bahasa Inggerisnya, currypuff atau dalam bahasa saintifiknya kariepaufsardiney. Ha, beberapa Sabtu yang lepas, aku dengan rajinnya masak karipap berintikan sardin. Aku rasa dah bertahun aku tak buat kuih ni. Jadi, aku telefon adik aku yang sedang berbulan madu di Seremban untuk tanya bagaimanakah kaedahnya buat doh karipap ni. Sebenarnya aku tak ingat sama ada kena letak telur atau tidak. Itu saja. Aku memang suka masak. Aku rasa kalau rumah aku ni dah lengkap dengan segala macam peralatan macam oven atau mikrowave mahu aku masak tak henti. Jadi dalam keadaan serba kekurangan selayaknyalah aku masak karipap je. Jeles sebenarnya tengok Anis hari-hari beli karipap sardin makcik. Jadi ni nak tunjuklah yang aku pun pandailah buat karipap. Isnin lepas, aku bawalah ke pejabat karipap sardin aku ni. Komen yang makan. Huh, keraslah. Heheh. Memang pun keras tapi inti sardin tu sedaplah juga. Aku kena terima hakikatlah sebenarnya walaupun aku suka masak tetapi bab buat kuih ni aku memang agak lemah sikit. Aku cuma pandai masak lauk je. Tapi takpe. Akan kucuba lagi.




Perkahwinan Sari Yanti

SIAPAKAH jejaka di sebelah ini? Inilah Razali Mohamed. Dia ialah jurugambar di Berita Publishing Sdn Bhd. Pada Sabtu 17 Januari 2009, kami bertugas di Kuala Pilih bersempena majlis perkahwinan pelakon Kisah Kaisara, Sari Yanti.
Aku bertolak dari rumah bersama Suzi jam 10 pagi. Tepat jam 12 aku sampai di rumah Sari Yanti. Lima minit kemudian Zali sampai dengan kereta merahnya. Bersama Zali ialah pelajar praktikal, Asmida.
Pulang dari Kuala Pilah, kami singgah di pekan Senawang. Minum dan makan sate. Suasana panas dan bahang di majlis perkahwinan itu menjadikan kami tidak selesa. Makan pun sikit je. Jadi minum petang di Senawang hari itu amat membahagiakan kerana selesa dan makanan pun sedap.









Watarwan? Hahaha. Wartawan, bukan watarwan. Eja betul-betul ya. W.A.R.T.A.W.A.N

Zali atau mesra dipanggil Pokli dedikasi ketika ambil gambar.

Bergambar di Menara Kuala Lumpur (media nite)

BERTEMU LAGI DALAM BLOG INI

CANTIK tak gambar di bawah? Ha... Ini bukan di luar negara tau. Tetapi di KL Tower (Menara Kuala Lumpur). Aku hadir ke majlis media nite ni pada Jumaat, 9 Jan 2009. Masuk ke ruang balkoni KL Tower tu aku dah tergedik-gedik nak bergambar. Maklumlah.... patung kartun. Syoklah.
Walaupun tidak berjaya memenangi sebarang hadiah cabutan bertuah tetapi aku gembira juga kerana dapat ambil gambar kat tempat cantik. Tetapi hadiah dia best-best tau. Percutian ke Langkawi, televisyen LCD.... erm.... takde rezeki.











Khamis, 8 Januari 2009

Mari Lakukan Sendiri


Gubahan
Bunga
Ringkas
Bersempena
Hari
Kekasih




















SALAM semua... Hari ini aku membuat penggambaran untuk Ruangan Lakukan Sendiri. Sudah lebih setahun aku mengendalikan ruangan ini. Aku mula menjadi penyelaras tetap Ruangan Lakukan Sendiri sejak isu Ramadan tahun 2007. Sejak itu aku mencari ilham untuk membuat kraf tangan setiap bulan. Bersempena isu Februari 2009 yang bertemakan Hari Kekasih, aku cuba mengilhamkan gubahan bunga ringkas untuk dihadiahkan kepada insan yang disayangi.
Jurugambar yang bertugas hari ini ialah Jasmin. Aku puas hati bekerjasama dengan Jasmin hari ini kerana dia cepat dan sesekali dia memberi idea untuk gambar nampak cantik. Jasmin ialah seorang jurugambar berpengalaman di BPSB. Terima kasih kepada Jasmin kerana memberi kerjasama baik hari ini. Gambar pun dapat cepat. Ambil gambar jam 11 pagi, lepas makan tengah hari aku tengok gambar dah ada di folder Jelita. Bagi anda yang ingin tahu langkah demi langkah membuat gubahan bunga ringkas ini, sudi-sudikanlah menatap Jelita bulan Februari 2009 nanti ya.
Di bawah ini aku sertakan beberapa gambar yang sempat aku rakam menggunakan telefon bimbit aku. Ha... tengoklah gaya seorang jurugambar profesional ambil gambar.
Yang perempuan itu ialah jurugambar pelatih.





Rabu, 7 Januari 2009

Peribahasa

SALAM sejahtera untuk semua pembaca blog ini. Sudah lama aku tidak menulis untuk ruangan Bual Bahasa. Asyik menulis mengenai kehidupan seharian sahaja hinggakan terlupa mengepos entri dalam bidang yang saya minati ini. Kali ini aku ingin menulis pengenai peribahasa. Ketika bertugas sebagai guru sementara suatu ketika dahulu, ramai pelajar yang bertanya kepada aku mengenai peribahasa. Mereka keliru antara peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan pepatah. Bagi aku, kekeliruan ini bukan sahaja dihadapi oleh pelajar sekolah. Malah kita juga pasti tidak pasti apa beza antara perkara di atas, bukan. Secara mudah, jom kita lihat keterangan di bawah. Semoga kekeliruan anda terungkai dengan sedikit penjelasan ini.

PERIBAHASA
Peribahasa sebenarnya ialah kelompok besar yang di bawahnya ada kelompok kecil iaitu simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan pepatah atau perbilangan.

Peribahasa
1) Simpulan bahasa
2) Perumpamaan
3) Pepatah atau perbilangan
4) Bidalan

SIMPULAN BAHASA
Simpulan bahasa ialah bentuk peribahasa paling ringkas. Biasanya mempunyai dua patah perkataan. Dua patah perkataan itu tadi pula membawa maksud berlainan daripada maksud asal. Contohnya, banyak mulut. Kalau kita lihat perkataan banyak mulut ini membawa maksud mulut yang banyak. Manusia hanya ada satu mulut sahaja, kan? Tetapi simpulan bahasa banyak mulut membawa maksud orang yang suka bercakap. Ha... macam itulah.
Contoh lain kelompok simpulan bahasa ialah besar kepala (degil), ringan mulut (peramah), tangkai jering (kedekut), naik angin (marah secara tiba-tiba), harga diri (maruah) dan rambang mata (tidak tahu hendak pilih yang mana).

PERUMPAMAAN
Perumpamaan ialah bentuk peribahasa yang agak panjang. Dimulakan dengan perkataan ibarat, seperti, bagai, bak, laksana atau ibarat.
Contohnya, seperti katak di bawah tempurung. Maksud peribahasa ini ialah orang yang tidak ambil tahu mengenai dunia luar dan kehidupan terpencil merangkumi ruang lingkupnya sahaja.
Contoh lain ialah umpama kaca dengan permata, bagai pungguk rindukan bulan, bagai aur dengan tebing dan bagai kerana mendapat bunga. Contoh-contoh lain bolehlah anda lihat dalam buku rujukan ya.

PEPATAH ATAU PERBILANGAN
Jika diperhatikan betul-betul, pepatah ada unsur rima seperti puisi. Susunannya ringkas dan terdiri daripada dua baris. Apabila anda menuturkan pepatah, seolah-olah anda menyebut satu per satu dek kerana rima itu tadi. Tak percaya? Cuba sebut contoh di bawah:
-Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
-Cubit paha kanan, paha kiri sakit juga.
-Ditelan mati emak, diluah mati bapak.

BIDALAN
Bidalan ialah bentuk peribahasa yang tinggi nilainya. Bidalan mempunyai unsur nasihat dan bermaksud tersirat. Lebih kurang sama dengan pepatah namun nilai bahasanya lebih tinggi.
Contoh mudah ialah malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan. Contoh lain; jika kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga yang bermaksud kalau pengetahuan sedikit janganlah hendak berlawan atau membuat sesuatu yang besar.

Keterangan tambahan
Kalau ikut Kamus Dewan, perkataan peribahasa bermaksud ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu.
Jadi, untuk anda yang ingin menggunakan peribahasa dalam pertuturan atau penulisan, anda sepatutnya TIDAK BOLEH ubah susunan ayatnya.
Misalnya peribahasa cibit paha kanan, paha kiri sakit juga. Janganlah pula anda ubah jadi cubit paha kiri, paha kanan pun sakit atau cibit paha kanan, paha kiri terasa juga. Janganlah tambah atau kurangkan perkataannya. Bak kata kasarnya, jangan ubah sesuka hati engkorang je.
Jalan terbaik ialah rujuk Kamus Dewan atau buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit profesional. Kadang-kadang buku penerbit ‘nyamuk’ yang banyak di pasaran tak boleh juga nak dijadikan rujukan. Aku pernah kerja di penerbit buku ‘nyamuk’, jadi aku tahulah pasal mereka ni.

Selasa, 6 Januari 2009

Remy Ishak

REMY Ishak.
Aku mula-mula sekali melihat lakonannya ialah pada telemovie di TV3 bertajuk Jalan Singkat Ke Neraka. Lakonannya terus lekat di ingatan. Dalam cerita itu Remy berlakon watak jahat. Dia menggoda isteri orang, lakonan Rita Rudani semata-mata untuk menjadikan Rita sebagai pengedar dadah di luar negara.
Tadi Remy Ishak datang ke pejabat BPSB untuk penggambaran dengan majalah I-Remaja. Apa lagi? Ambil kesempatanlah bergambar dengan dia.
Kini, Remy banyak berlakon. Paling menyerlah ialah dalam drama Sinderella dan Awan Dania. Untuk filem Remy berlakon dalam Anak Halal. Dia berasal dari Melaka. Dari pandangan mata kasar aku, Remy seorang yang cukup perahsia. Sukar untuk meneka apa yang ada dalam hati dia. Tutur kata sungguh berhati-hati. Walau apa pun, semoga terus berjaya dalam dunia seni.

Jumaat, 2 Januari 2009

Menyelam Untuk Menjadi Lebih Baik?

SALAM sejahtera. Tadi pagi aku pergi ke Bukit Antarabangsa untuk menemu bual Presiden Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (Coral Malaysia), Jamhariah Jaafar. Temu janji jam 11 pagi tetapi jam 9.30 aku sudah bergerak dari pejabat untuk ke sana. Aku pergi awal kerana bimbang 'sangkut' dalam kesesakan jalan raya. Lagipun aku tak berapa pasti lokasi pejabat Coral Malaysia. Biasanya aku akan recce dulu lokasi yang aku tak pasti tetapi untuk assigment yang ini aku tak sempat recce dulu. Jadi, haruslah aku bertolak awal supaya sampai sebelum waktu dijanjikan.
Memang aku agak tersasar kerana terlepas satu lorong. Namun semuanya masih dalam kawalan dan aku sampai sebelum jam 11 pagi di pejabat Coral Malaysia. Sampai sahaja aku dijemput dengan senyum manis wanita ini. Orangnya biasa sahaja tanpa solekan namun terserlah jati dirinya sebagai seorang berani dan tegas.
Menurut Jamhariah, aktiviti menyelam ke dasar laut menjadikan dia seorang yang berani dan tegas. Katanya, kalau aku turut sama menyertai aktiviti ini, aku boleh jadi seorang yang lebih berkeyakinan dan much much better than who I am now. Itu kata Jamhariah.
Apabila Jamhariah kata macam tu aku terus terkenang saat aku pergi ke Pulau Redang dua tahun lalu. Masa itu aku dibawa oleh Berjaya Group ke Berjaya Redang Beach Resort. Di sana aku berpeluang untuk selam snorkle. Ketika selam snorkle itu aku terserempak dengan ikan pari. Akibat terkejut, aku kelam-kabut berenang ke bot. Memang menakutkan. Apabila aku menceritakan pengalaman ini kepada Jamhariah, dia ketawa lalu berkata. "Sepatutnya awak tak perlu takut. Itu pengalaman yang hebat. Bukan semua orang dapat pengalaman berhadapan dengan ikan pari."
Aku terdiam sebentar dan berkata dalam hati. "Betullah kata Jamhariah. Memang menyelam boleh menjadikan kita seorang yang berani dan berkeyakinan. Kalau tidak, takkan aku lintang-pukang berenang naik ke bot sebab ketakutan terserempak dengan ikan pari. Padahal ikan itu tak mengganggu kita pun kalau kita tak usik-usik dia."
Sebelum balik, sempat Jamhariah memberitahu aku bahawa laut di Malaysia adalah laut tercantik di dunia. Terumbu karangnya sangat cantik. Kalau kita tak menyelam sekarang, kita rugi. Sebabnya ialah kini terumbu karang kita semakin pupus disebabkan pencemaran.
"Saya bersyukur kerana sudah menyelam lebih sepuluh tahun lalu. Ketika itu terumbu karang sangat cantik terutama di Pulau Sipadan. Kini semuanya membuatkan saya sedih." kata Jamhariah penuh makna.