Iklan Nuffnang

Isnin, 29 Disember 2008

Persandingan Mawi di Felda Taib Andak

Kalau orang tak suka Mawi, aku suka
Kalau orang kata suara Mawi koyak, aku suka
Kalau orang kata Mawi lupa lirik, aku suka
Kalau orang kata Mawi lupa diri, aku suka
Kalau orang kata Mawi berlagak, aku suka
Kalau orang kata Mawi tak pandai cakap, aku suka
Kalau orang kata Mawi perasan, aku suka
Apa pun orang kata, aku suka Mawi

SALAM sejahtera untuk semua pengunjung blog aku ini. Hari ini 1 Muharam. Aku berehat di rumah. Nasib baik hari ini cuti umum. Kalau tidak mesti aku datang ke pejabat dengan lesunya. Manakan tidak, aku baru selesai menghadiri majlis persandingan Mawi-Ekin di Kulai. Seronok dan meriah. Itulah yang boleh dikatakan mengenai majlis di sana. Lihatlah gambar yang sempat aku rakamkan menggunakan kamera kecil aku ni.

Mawi-Ekin berpakaian Jawa. Baju Mawi daripada Zul Klasik dan Ekin daripada Arma.
AKU DAN JURUGAMBAR

Aku dan Said. Yang ada anak panah tu Said.
Ini Said Ramadzon. Dia adalah jurugambar yang bertanggungjawab mengambil gambar untuk majalah Jelita dan I-Remaja. Said pernah menjadi pelajar praktikal di tempat aku bekerja. Aku senang bekerja dengan Said. Dia tak banyak kerenah dan cergas ke sana ke mari, sesuai dengan tanggungjawab sebagai seorang jurugambar.
Pada hari pertama ketika menunggu bas di Astro, dia menunjukkan kepada aku atur cara majlis. Kemudian dia tanya aku, akak nak gambar event yang mana? Aku katakan kepada Said, aku nak gambar semua event. Gambar kena ambil banyak sebab I-Remaja nak buat buku. Dia angguk tanda faham. Said kata dia dah sedia tiga keping kad memori yang setiap satunya sebesar dua gig. Bagus!
Pada malam pertama iaitu konsert gempak, aku tengok Said bekerja dengan baik. Dia memang cergas. Pada hari kedua iaitu majlis persandingan, masa mula-mula sampai aku minta dia ambil gambar dekorasi dewan. Ketika itu cuaca sudah semakin panas. Kemudian ada sesi penerangan ringkas untuk jurugambar kerana mereka perlu bersedia bagi acara kemuncak iaitu pengantin turun daripada helikopter. Said pergi bersama-sama jurugambar yang lain ke padang. Mana-mana wartawan yang sempat naik shuttle, dapatlah tengok. Aku tak sempat kerana ramai berpusu-pusu nak naik termasuklah tetamu. Jadi aku hanya melihat helikopter di udara tetapi tak nampak pengantin turun.
Selepas persandingan di padang, kami masuk ke dewan untuk menyaksikan persandingan di dewan pula. Aku tengok masa tu muka Said pun dah merah kerana memang panas cuaca kat luar tu. Dia tanya lagi nak gambar apa. Aku bagitahu dia yang penting ialah gambar memotong kek pulut, makan beradab (kalau ada suap-suap), gambar sanding dan group photo. Said angguk lagi. Aku tahu dia penat. Ke hulu ke hilir nak ambik gambar. Dengan panasnya. Berebut-rebut pulak tu dengan jurugambar yang lain. Kejap-kejap dia tukar lens. Yelah, gambar dekat dengan gambar jauh kan guna lens yang berbeza. Kemudian jurugambar perlu mengehadkan pergerakan kerana ini siaran langsung di Astro. Semakin sukarlah nak ambil gambar yang baik. Kejap-kejap Said naik atas kerusi, kejap-kejap menyusup di tengah-tengah jurugambar. Jurugambar lain pun buat macam tu jugak.
Dalam hati aku kata, kalau ada dua jurugambar kan senang. Sorang ambil gambar guna lens yang berlainan. Dan kalau ada dua jurugambar, bolehlah diorang berbincang dan bahagi-bahagikan apa gambar yang perlu mereka ambil. Nak buat macam mana, aku dan i-Remaja Cuma ada seorang jurugambar.
Apabila majlis hampir tamat, Said tanya lagi nak gambar apa. Aku cakap cukuplah tu. Gambar sidang akhbar tak payah ambiklah. Kesian sangat dah aku tengok Said. Walau apa pun, terima kasih sangat pada Said. Tahniah Said, kau berjaya buat yang terbaik!

HOTEL


Inilah Sofitel Palm Resort tempat wartawan menginap. Cantik dan selesa.

KONSERT GEMPAK REWANG


Farah dan Faizal

Mawi dan Ekin. Mereka ni muncul pada jam 11.40 malam. Huh lambat sungguh.

Zahid & Nita. Gambar sebelah ialah Zila.

Kumpulan 3G, ditubuhkan daripada Fan Club Mawi FC. Sebelah tu Nadia.
Ramainya orang. Kata Astro jumlahnya dalam 20 ribu orang. Sebelah, Toi.

ISU BANNER


Aku agak tertanya-tanya mengenai banner yang kelihatan di beberapa pojok di lokasi persandingan Mawi-Ekin. Banner itu memberitahu pembacanya bahawa penduduk kampung tidak terlibat secara langsung dengan majlis ini. Semuanya diuruskan oleh Maestro. Maestro bertanggungjawab penuh terhadap sebarang kesulitan yang dihadapi oleh tetamu.
Ketika sidang akhbar, aku ada bertanya mengenai hal ini. Mawi menjawab hal ini adalah masalah kecil dan dia tidak mahu terlalu memikirkannya dan tidak mahu hal ini diperbesarkan. Kata Mawi, penduduk kampung memberi kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan majlis ini. Fredie juga menambah, mungkin hal ini hanya membabitkan segelintir penduduk sahaja. Apabila aku tanya adakah Mawi kesal dengan hal banner ini, Mawi kata dia tidak kesal kerana penduduk memberikan kerjasama. Dan sekali lagi Mawi menambah, hal ini adalah isu kecil dan tidak mahu diperbesarkan.

HAHAHA, AKU DAH RASMIKAN DULU


Yeha... di kerusi makan beradab.

Aku di pelamin Jawa. World sungguh pelamin ni.

Ini gambar aku ketika di dewan beberapa jam sebelum acara persandingan bermula. Aku dah duduk dah atas pelamin Jawa. Aku juga sempat duduk atas kerusi makan beradab. jangan marah ya, aku dah rasmikan. Bukan aku saja, wartawan lain pun sama.
SEKITAR MAJLIS PERSANDINGAN


Pengantin mengaminkan doa. --> Tak boleh nak duduk kat meja media ni. Panas sangat.

Orang ramai di khemah. --> Air mineral untuk tetamu.

Turun tangga nak ke khemah. --> Masakan Sunda.

Ruang makan beradab. --> Pelamin Jawa.

Kek pulut empat tingkat. --> Ruang makan beradab.

Mawi-Ekin-Fredie pada majlis sidang akhbar.
Majlis persandingan Mawi-Ekin di Felda Taib Andak pada 28 Disember 2008 berakhir dengan majlis sidang akhbar. Dalam sidang akhbar tu Mawi bagitahu yang dia bahagia dengan Ekin. Dia juga ada memberitahu pihak media bahawa masakan pertama yang dimasak Ekin untuknya ialah sambal sardin dan telur masak kicap. Kata Mawi masakan Ekin tu world.
Mawi enggan memberitahu media jumlah kos yang belanjakan untuk majlis perkahwinannya. Mawi juga enggan memberitahu kami apakah hadiah istimewa untuk Ekin. Apabila soalan sama ditanya kepada Ekin, Mawi menjawab bagi pihak Ekin, “Diri saya ini sendiri sudah umpama hadiah istimewa untuk Ekin.”
Ekin juga memberikan komen positif terhadap pakaian ala Jawa yang dipakainya. Komen Ekin, “Masa mula-mula saya asyik terfikir macam manalah agaknya pakaian ala Jawa. Bila pakaian dah siap, oh macam ni rupa-rupanya. Tiara di dahi ni agak berat. Namun semuanya Ok. Cantik.”
Mengikut kata Mawi-Ekin, majlis di Hotel Palace of the Golden Horses nanti bertemakan Arab. Ada kejutan dan kami semua diminta tunggu hari majlis nanti. Aku terfikir dalam hati, apalah agaknya kejutan tu ya. Naik unta ke? Ataupun macam Aladdin, naik tikar terbang. Yalahkan... tema Arab. Lepas tu Ekin keluar daripada teko ajaib.... Hahaha.... Macam cerita dongeng 1001 malam yang terkenal di negara Arab kan. Tak baiklah fikir macam tu.
Akhir sekali, terima kasih kepada PR Maestro iaitu Along dan Diana. Kerjasama daripada korang berdua amat aku hargai. Nanti kita bekerjasama lagi ya.

Jumaat, 19 Disember 2008

Kembar tak seiras

LIHATLAH gambar di bawah. Ini ialah gambar Anis (kiri) dan Suzi (kanan). Mereka berdua ialah penulis di majalah I-Remaja. Pada hari ini mereka pergi ke pejabat dengan pakaian hampir sama tanpa dirancang. Denim biru, kemeja-T hijau dan tudung hitam. Kami semua gelar mereka kembar tak seiras. Hingga ada yang berseloroh mengatakan itu uniform I-Remaja pada setiap Jumaat.
Persamaan mereka ialah:
1) Graduan Universiti Teknologi Mara, (UiTM) Shah Alam.
2) Sangat manja dengan ibu.
3) Masing-masing sudah ada buah hati.
4) Penulis majalah I-Remaja.
5) Kawan baik aku.
6) Apa lagi ya.... nanti aku cari lagi.



Rabu, 17 Disember 2008

Gambar di Korea

TADI pagi aku minta Ketua Jurugambar BPSB, En Kahar buka blog aku sebab aku dah kemas kini blog ini mengenai Pencarian Gadis dan Jejaka I-Remaja. Saja-saja je suruh dia buka dan tengok. Boleh gak promote blog aku ni.
Sebaik sahaja dia buka blog aku, dia terus tanya. “Ni gambar dalam internet ke yang ko masukkan dalam blog ko ni. Kang tak pasal-pasal kena saman.” Gambar yang dimaksudkan ialah gambar header blog aku ni. Aku sedar gambar tu cantik. Tidak dapat dinafikan. Hahahah. Cantikkan gambar ni? Ada gambar pokok dan dua orang menaiki basikal. Nampak tenang je gambar ni. Sebenarnya gambar ini aku ambil sewaktu berkunjung ke Korea iaitu di Pulau Nami. Dalam blog ini tak ada kisah aku pergi ke Korea kerana blog ini aku mula buat selepas berbulan-bulan aku ke sana.
Jadi untuk keterangan lebih lanjut, aku masukkan gambar kunjungan aku ke Seoul, Korea Selatan. Jeng jeng jeng. Layanlah ya. Gambar-gambar ini semua aku letakkan saiz medium supaya lebih jelas untuk ditatap. Tataplah ya. Seronok sangat jalan-jalan di Korea.


Di Pulau Nami.

Bunga di depan hotel. Masa ni nak balik Malaysia dah.

Suasana sangat menarik hati.

Pemandangan dari dalam kereta kabel di Gunung Soeraksan.

Di tugu bergambar drama Winter Sonata.

Comel tak? Aku yang comel atau kereta ni yang comel?

Cantiknya bunga....

Bunga lagi.


Suasana mendamaikan.

Aku dan Sue, pemandu pelancong Korea.

Lokasi babak 'first kiss' dalam Winter Sonata.

Inilah gambar header blog aku yang En Kaha cakap tu.


Di taman tema I Love strawberry khas untuk kanak-kanak.

Di istana lama.

Rabu, 10 Disember 2008

Yahooo dapat hadiah lucky draw

Hari ini tepat jam 10.30 pagi aku sampai di One World Hotel untuk tugasan majlis pelancaran alat pendingin hawa terbaru Panasonic. Sedang aku minum kopi dan makan sandwic, kelihatan KK Wong dari bahagian pemasaran Jelita datang bersama Nurul, penulis Anjung Seri yang baru. Kami makan bersama. Sejurus kemudian kami masuk ke dewan besar (ballroom) untuk majlis pelancaran. Setelah itu kami ke dewan sebelah untuk makan tengah hari. Acara cabutan bertuah dimulakan. Ada tiga hadiah iaitu pengering rambut, alat pendingin hawa jenis biasa (RM1,100++) dan alat pendingin hawa terbaru (RM1,500++). Aku harap dapat hadiah itu namun hampa. Siapa yang tak suka dapat hadiah cabutan bertuah? Kalau korang pun, mesti korang suka kan?
Aku, KK Wong dan Nurul makan sambil borak-borak dengan Ashraf, bekas kakitangan BPSB dulu. Lebih kurang jam 2 petang mereka semua minta diri untu balik ke pejabat. Aku pergi ke lobi main-main telefon bimbit sementara menanti jam 2.30 petang untuk pergi ke majlis pelancaran minuman berkhasiat BerryGen daripada Tupperware Brand. Selepas mendaftar aku dijemput oleh kakitangan Tupperware untuk menikmati minuman ini. Erm... sedap dan tak rasa terlalu berherba. Yelah... sebab itu bukan minuman herba tetapi beri (berry). Kemudian aku dijemput pula untuk merasai DIY spa. DIY spa ini kami diberi rawatan kelopak mata, bibir dan urut tangan. Selesa je rasa apabila kelopak mata ditutup dengan span yang dicelup dengan air beri segar.
Selepas majlis penerangan tamat, penganjur mengadakan cabutan bertuah. Namun bukan cabutan bertuah menggunakan kad nama kita. Caranya ialah dengan meminta tetamu melihat di bawah kerusi yang diduduki. Jika ada kertas maka anda berpeluang menerima hadiah Tupperware. Kemudian satu sesi lagi ialah lihat di dalam fail siaran akhbar (press release). Jika ada kertas iklan yang ditandatangani oleh hos, maka anda berpeluang menerima hadiah. Masa ini aku teruja melihat aku adalah salah seorang daripada empat tetamu yang memiliki kertas iklan bertandatangan. Hehehe. Dapat hadiah dua buah Tupperware sederhana besar dan losen tangan Tupperware Brand. Yahooo….